KUALA LUMPUR : Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta golongan muda agar tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5.0 yang dijangka akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Khairy berkata, generasi muda perlu mengelak demokrasi bukan kerana kerajaan ingin menyekat kebebasan, sebaliknya perhimpunan BERSIH yang diadakan sebelum ini mencetuskan keadaan agresif.
“Belia perlu elak demonstrasi, bukan kerana (kerajaan) ingin sekat kebebasan tetapi kita telah lihat perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini mencetuskan keadaan agresif.
“Kereta polis pecah dan serangan dilakukan kepada polis, kita tidak mahu perkara ini berlaku,”katanya, lapor mstar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek Sukarelawan Antarabangsa MyCorps di Kampung Anlong, Samnar, Siem Reap, Kemboja.
Ketua Pemuda UMNO itu juga berkata, BERSIH 4.0 yang diadakan juga turut dicemari dengan tindakan biadap daripada peserta perhimpunan itu.
“Meskipun tiada insiden buruk, ada tindakan biadap (peserta BERSIH) seperti pijak gambar pemimpin dan bagi saya lebih baik (belia) elak perhimpunan seperti ini.
“Ini kerana ia boleh menimbulkan tindakan yang tidak disenangi oleh masyarakat,”katanya.
Dalam masa yang sama, Khairy turut mengharapkan agar tiada insiden yang boleh menggugat keamanan negara sekiranya perhimpunan itu tetap diadakan.
“Sepatutnya perhimpunan itu (BERSIH) tidak diadakan, jika ada tuntutan atau apa sahaja, ia boleh disampaikan melalui pelbagai forum dan cara lain,”katanya.