Membawang Hari Ini

Belum masa ke peringkat global

Penyanyi dan komposer terkenal SonaOne belum ada perancangan melebarkan sayap ke luar negara berikutan mahu mengukuhkan nama di persada muzik tanah air terlebih dahulu.

Ketika ditemui ketika pelancaran program The Ultimate Brocation kelmarin, jejaka kacukan Melayu-Perancis ini bagaimanapun menjelaskan dia tidak keberatan membantu rakan memperkenalkan muzik hip hop Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Kalau ada peluang saya ingin membantu penyanyi hop hop negara ini mempromosikan muzik mereka di luar negara.

“Untuk karier nyanyian sendiri pula, saya belum bersedia selain memerlukan perancangan yang rapi,” katanya.

Menurutnya yang popular dengan lagu No More itu, kolaborasi dengan Yuna menerusi single Pulang sedikit sebanyak membuka laluan kepadanya untuk melangkah lebih jauh.

“Kami sudah lama kenal namun tidak berpeluang bekerjasama kerana masing-masing sibuk. Apabila Yuna menyatakan hasrat mahu berduet dengan saya kerana belum mempunyai lagu Melayu untuk albumnya, saya terus bersetuju,” katanya yang berharap dapat bekerjasama lagi dengan Yuna pada masa hadapan.

Dapat ilham hasilkan lagu di Hong Kong

Baru sahaja pulang dari merakamkan program The Ultimate Brocation di Hong Kong, SonaOne memberitahu peluang menjejakkan kaki ke negara itu memberi inspirasi kepadanya menghasilkan lagu.

“Hong Kong kota yang cantik dan unik. Ia syurga makanan, hiburan dan pelancong boleh melakukan pelbagai aktiviti luar di sana,” katanya yang bakal melancarkan single solo tidak lama lagi.

Berkongsi pengalaman mengendalikan program The Ultimate Brocation bersama Billy Crawford dari Filipina, P. K (Thailand) dan cef Bjorn Shen (Singapura), SonaOne gembira apabila dapat mengenali rakan baru.

“Walaupun sudang pulang ke negara masing-masing, kami masih berhubung dan sering berkongsi perkembangan terkini. Saya gembira berkenalan dengan mereka,” katanya.

Berkongsi kenangan manis di sana, SonaOne berkata paling tidak dapat dilupakan adalah bersiar-siar di sekitar Hong Kong dengan menaiki tram yang ditempah khas.

“Saya dan Bjorn menari dengan warga emas yang berkaroke di Temple Street. Setiap kali teringat detik itu pasti saya ketawa sendiri,” katanya.

Menurut penyanyi itu lagi, selain melawat lokasi menarik di Hong Kong mereka turut melakukan beberapa cabaran.

Program The Ultimate Brocation yang berkonsepkan pelancongan akan ke udara di saluran KIX HD mulai 14 Disember ini, jam 9 malam.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");