TIGA beregu negara menyerlah dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016 apabila memenangi kesemua kategori beregu pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.
Ia sekali gus menyaksikan Malaysia menyapu bersih kategori beregu campuran, lelaki dan wanita.
Berlangsung di Kompleks Sukan Likas, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai memulakan kecemerlangan negara apabila menundukkan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan dan Wen Hao Yun, 21-13, 21-17 dengan hanya mengambil masa 25 minit.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen, juga tidak mengalami kesukaran untuk muncul juara apabila menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, dengan straight set 21-9, 21-13.
Selepas itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula menepati ramalan selaku pilihan pertama apabila menang rubber set 21-17, 17-21, 21-15 ke atas pasangan China, Jiang Binbin-Tang Pingyang.
Bagaimanapun, nasib tidak memihak kepada dua lagi pemain iaitu perseorangan lelaki, R Satheishtharan, dan perseorangan wanita, Ho Yen Mei terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila tewas kepada lawan masing-masing.
Yen Mei tunduk 17-21, 11-21 kepada pemain Jepun, Sayaka Takahashi manakala Satheishtharan tewas kepada pemain Indonesia, Panji Ahmad Maulana dengan 21-9, 16-21, 21-12.-sinar harian