Membawang Hari Ini

Bina semula nama

Lupakan sejarah hitamnya dulu kerana Ameng kini sudah memulakan episod baru dalam hidupnya.

Selain meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, sudah sampai masanya dia membina semula nama dalam bidang nyanyian.

Menurut Ameng, dia kini bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian tidak putus.

“Saya bersyukur kerana diterima semula peminat. Selain itu saya juga tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan dan konsert sejak dibebaskan dari penjara pada 14 Jun lalu.

“Saya juga tidak akan mensia-siakan peluang kedua yang diberikan peminat dalam bidang nyanyian,” katanya.

Selepas kejayaan Konsert 3 Suara bersama Datuk Jamal Abdillah, Zamani Slam dan Jamilul Hayat di Istana Budaya, baru-baru ini, Ameng berkata, mereka bakal meneruskan siri konsert itu di Kedah, Ipoh dan Pulau Pinang bulan depan.

Menurut Ameng, siri konsert itu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dia selesai menjayakan program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Selain itu, dia juga bakal terbabit dengan konsert bersama Zamani dan Amir UKays di Singapura, awal tahun depan.

Ameng berkata, walaupun terikat dengan GV3 dia tetap memenuhi undangan persembahan anjuran syarikat korporat jika ada kelapangan.

“Saya anggap program GV3 sebagai platform terbaik untuk saya membuat ‘comeback’ dalam bidang nyanyian. Banyak pihak mengundang untuk mengadakan persembahan apabila mendapat tahu saya sudah kembali menyanyi,” katanya.

Ameng berkata, dia juga menyewa homestay berhampiran sepanjang terbabit dengan GV3 yang sudah memasuki minggu kelima itu.

“Maklumlah, saya dan keluarga menetap di Melaka dan akan berulang-alik ke Kuala Lumpur apabila ada undangan persembahan. Saya juga ada perancangan membawa keluarga berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan karier,” katanya.

Ameng mempunyai seorang anak iaitu Wan Ahmad Haizal, 9, hasil perkahwinannya dengan Sabariah Zakaria, 46.

Hasil perkahwinan pertamanya bersama penerbit drama Datuk A Aida, dia memiliki dua anak perempuan iaitu Wan Az Aleesa, 20, dan Wan Azevanatassha, 15.

Pertaruh dua single baru

Sekian lama tidak muncul dengan album baru, penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bourgenvilla ini bakal muncul dengan dua single barunya untuk mengubat kerinduan pada peminatnya di luar sana.

Katanya, dua single barunya itu diterbitkan syarikat rakaman Rusa Music.

“Single genre balada berjudul Di Antara Cinta dan Rindu adalah ciptaan saya dan diterbitkan anggota Khalifah, Herry. Saya akan memulakan proses rakaman di studio Khamis ini (esok). Single kedua yang belum diberi judul pula dicipta Herry,” katanya.

Ditanya mengenai bingkisan album baru bersama Spring pula, kata Ameng, memang ada pihak yang menawarkan mereka untuk merakamkan album baru.

“Memang saya ada perancangan menghasilkan album baru bersama kumpulan Spring sekali gus memenuhi permintaan peminat. Malah, kami juga ada menerima tawaran daripada pihak tertentu yang berminat menerbitkan album baru Spring.

“Ia masih dalam proses perbincangan kerana kami masih menanti tawaran yang bagus kerana ingin menghasilkan album yang berkualiti,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");