Sukan Hari Ini

Bukan hanya variasi

Kuala Lumpur: Bukan hanya perlu mempelbagaikan corak permainan malah perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga digesa untuk mengubah cara hidup di luar gelanggang jika mahu menjadi seorang pemain berkaliber.

Perkara itu diakui jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan yang mengharapkan Iskandar lebih matang selepas usianya sudah menjangkau 25 tahun dan beliau mengakui untuk menjadi seorang juara, latihan, perwatakan serta kehidupan di luar gelanggang perlu seimbang.

“Dia (Iskandar) perlu menjaga makan dan rehat kerana sekarang ini masih belum menunjukkan perwatakan untuk mahu menjadi pemain 10 terbaik dunia. Dia harus mempunyai tanggungjawab, kalau berlatih dengan bagus tapi kehidupan di luar tidak dijaga, tidak boleh seperti itu,” katanya.

Bekas juara dunia itu melihat Iskandar tidak memikirkan soal rehat secukupnya dan sentiasa mahu ‘bergembira’ ketika di luar gelanggang kerana umurnya yang masih muda.

“Ketika ini dia sedang cuba memperbaiki kedudukan ranking dan kami berharap dia menyerlah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Dia perlu berkorban. Saya setuju dengan pandangan Datuk Misbun Sidek Iskandar perlu mempelbagaikan corak permainannya.

“Dia juga harus menambahkan senjata dan kekuatannya juga masih kurang. Sekarang kita perlu fikir sama ada perlu mempertingkatkan kekuatan bersama kelajuan ataupun memantapkan fizikal supaya dia mempunyai pukulan, taktik dan strategi yang bagus,” katanya.

Ujarnya, untuk menjadikan Iskandar seperti Datuk Lee Chong Wei memang agar sukar kerana kedua-dua individu itu mempunyai perwatakan berbeza.

Sementara itu, mengenai peluang Chong Wei untuk beraksi pada Siri Super Akhir di Dubai, Hendrawan berkata, mereka sedang menunggu keputusan rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sama ada jaguh negara itu mampu layak secara merit atau jemputan.

“Keadaan dia (Chong Wei) masih belum 100 peratus, kalau dia pergi (Siri Super Akhir) kami akan membuat persiapan. Kalau lebih cepat mendapat keputusan kami boleh melakukan persiapan rapi kerana selepas Terbuka Denmark memang dia cuba memperlahankan rentak akibat keletihan di Sukan Olimpik Rio.”

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");