Membawang Hari Ini

Cabaran Sara kumpul pendengar

Perkembangan teknologi digital memberi cabaran besar kepada mereka yang terbabit dalam industri penyiaran tanah air bagi menghasilkan program luar biasa untuk meraih rating tinggi.

Sara Zulkifli, 25, yang diangkat sebagai ikon digital Hot FM mengakui perkara itu. Figura peramah ini memulakan kerjayanya di saluran radio itu sebagai Zoomers dan dengan kepetahannya berkata-kata dia terus dilamar menjadi DJ sambilan slot Geng Hujung Minggu Hot dan Hello Hot.

Menurut Sara sebagai ikon Hot FM dia ditugaskan mengumpul pendengar saluran radio itu.

“Radio bukan sekadar medium hiburan untuk mendengar lagu dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi peranannya lebih daripada itu. Kandungannya mesti bagus dan dengan perkembangan teknologi digital, pendengar tidak hanya mendengar suara DJ di corong radio tetapi boleh diikuti di Facebook dan Instagram.

“Hot FM juga memperkenalkan Hot TV yang dikendalikan DJ berbeza, bersiaran jam 6 petang di TV9. Antara kandungan program setengah jam itu adalah bermain ‘game’ dengan artis jemputan.

“Manakala video untuk segmen Cak Bersama Sara Cak pula boleh dilayari setiap hari di YouTube dan Facebook apabila saya menemu bual artis atau merakamkan video cabaran yang dicadangkan pendengar.

“Antaranya lima hari saya kena pakai baju yang sama serta tiga hari hidup tanpa media sosial.

“Untuk cabaran itu ada yang memerlukan saya melakukan penggambaran di luar. Apa yang saya dan DJ lain buat adalah untuk memenuhi cita rasa pendengar yang tidak lagi bergantung kepada medium radio dan televisyen saja apabila era digital mula menguasai dunia penyiaran hari ini. Rating pendengar juga menjadi pengukur menambat hati pengiklan untuk melabur dalam setiap slot yang ada,” katanya.

Ujar Sara lagi, saluran radio dan DJ juga perlu tampil dengan idea baru serta berbeza.

Berperwatakan ceria, Sara adalah graduan bidang zoologi dari Universiti Sains Malaysia. Walaupun sukakan haiwan, jiwanya tidak suka terikat dengan jadual kerja pejabat.

“Menamatkan pengajian di universiti bererti sudah memenuhi cita-cita ibu bapa yang mahu saya berjaya dalam akademik. Sejurus keluar universiti, bapa suruh saya bekerja di pejabat dan beliau juga meletakkan syarat saya boleh bekerja dalam apa saja bidang kecuali berlakon kerana tahu saya amat meminati bidang seni.

“Ketika di universiti saya aktif berlakon teater dan drama bahasa Inggeris. Bagaimanapun, saya tak boleh buat benda yang saya tak minat dan tidak takut untuk mencuba apa saja. Saya dapat keberanian dan keyakinan yang tinggi kerana sejak kecil ibu bapa jarang melarang atau membantah perbuatan saya kecuali memudaratkan diri dan keluarga.

“Saya seorang yang sangat lasak dan apabila menyertai dunia penyiaran, saya sedia terima apa saja cabaran dan tugasan yang diberi. Bukan calang-calang tugasan untuk mendekati VIP dan ‘mengenakan’ mereka tetapi saya buat dan slot saya bersama VIP terbabit mendapat rating tinggi,” katanya yang turut aktif menjayakan iklan komersial.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");