Sukan Hari Ini

Dirobek Jepun

Johor Bahru: Skuad remaja negara dipalit kekalahan memalukan selepas tumpas 1-2 kepada Jepun pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Taman Daya, malam tadi.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Wallace Tan akan beraksi dalam saingan klasifikasi tempat ke-5/6 manakala Jepun tampak berpeluang layak ke pentas final selepas mengumpul sembilan mata.

Ketika aksi memasuki minit ke-16, gol yang dinanti tuan rumah hadir menerusi gerakan bijak Hafiizhuddin Zaidi yang menolak bola kepada Rozani Baharom untuk menewaskan penjaga gawang Jepun Hiroki Nakagami.

Penguasaan jelas milik anak didik Wallace Tan yang kerap melancarkan serangan dan pantas menutup ruang apabila skuad Samurai Muda bertindak melakukan serangan.

Peluang terbaik tuan ruman untuk menambah jaringan tidak kesampaian pada minit ke-25 selepas tolakan Syed Syafiq Syed Cholan ditampan kemas Nakagami.

Sebaliknya skuad kendalian Kyoichi Nagaya bangkit menyamakan jaringan selang dua minit kemudian selepas tolakan deras Miyu Tanimitsu menerusi sudut penalti tepat menerjah jaring menewaskan penjaga gol, Zaimi Mat Deris untuk menamatkan aksi babak pertama dengan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, jelas Jepun lebih agresif mengasak ke kubu skuad remaja negara ketika anak didik Tan lebih kerap berada di kawasan sendiri untuk menghalang serangan barisan pemain Nagaya.

Bagi barisan pemain muda negara, mereka seolah-olah tidak memiliki perancangan yang mampu menggugat benteng Jepun tatkala serangan dilakukan sering tersekat dan bingkas dikeluarkan lawan.

Walaupun meraih dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-51 Najmi Farizal Jazlan masih belum mampu mencipta jaringan apabila dihalang Nakagami yang konsisten mengawal gawang gol.

Jepun melenyapkan sisa-sisa perjuangan tuan rumah pada minit ke-63 selepas Tanimitsu mencipta gol kedua peribadi menerusi pukulan sudut penalti untuk melakar kemenangan bergaya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");