Membawang Hari Ini

Erry Putra aktif cipta lagu

TANPA disedari, sudah 20 tahun Erry Putra bertapak dalam industri hiburan tanah air. Tidak hanya berlakon, selebriti berusia 38 tahun ini turut membina tapak sebagai penyanyi.

Biarpun lebih menyerlah dalam bidang lakonan, Erry bagaimanapun sedikit ‘tenggelam’ sebagai penyanyi.

Malah, ada segelintir peminat seolah-olah tidak menyedari akan kebolehan bekas ahli kumpulan Boyz ‘R’ Us ini.

“Ramai yang tak sedar saya juga menyanyi. Sebenarnya, saya mulakan karier saya adalah sebagai penyanyi, bersama kumpulan.

“Saya aktif cipta lagu tema untuk drama bersiri dan telefilem,” katanya kepada Sinar Harian.

Bahkan, pemilik nama sebenar, Mohd Razlan Hamzah @Ahmad ini pernah menghasilkan album solo berjudul Erry Putra yang memuatkan lagu runut bunyi bagi pelbagai drama bersiri dan telefilem sekitar 2009.

Bagaimanapun, katanya, album berkenaan tidak berada di pasaran, sebaliknya hanya dijual secara terus kepada peminat ketika mengadakan persembahan.

“Saya memang tak buat sebarang pelancaran atau pun promosi. Tapi, saya seronok dapat jual album saya sendiri kepada peminat.

“Malah, setiap lagu itu juga tak diputar pun di corong-corong radio sebab tujuan saya menerbitkan album hanyalah untuk kepuasan diri sendiri.

“Pada masa sama, ia untuk memberitahu peminat, selain berlakon saya juga penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, Erry kini sibuk menyiapkan album keduanya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH, album kedua nanti masih kekal dengan dengan konsep sama.

“Sebenarnya, saya mencari satu lagu yang benar-benar mampu mengukuhkan nama saya sebagai penyanyi,” katanya.

Tidak mahu cepat berputus asa, Erry melahirkan hasrat untuk menyertai program realiti demi mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi.

“Kalau ada peluang, saya memang nak sangat sertai program realiti seperti Gegar Vaganza ataupun Gempak Superstar.

“Sebelum ini, saya pernah dipanggil untuk menyertai Gempak Superstar, tapi saya terpaksa tolak kerana jadual penggambaran yang padat,” kata pelantun lagu Tidak Tidak ini.

Punya strategi

Bercerita mengenai perancangan untuk Erry terus bertahan dalam industri seni hiburan, Erry ternyata mempunyai strategi tersendiri.

“Semua penggiat seni ada cara masing-masing nak kekal. Ada orang yang meletakkan harga bagi setiap hasil kerja mereka, tapi saya tidak memandang perkara itu sebagai utama.

“Pada saya, soal bayaran adalah perkara kedua. Saya berfikir bagaimana mahu terus bertahan seterusnya mengekalkan jenama saya ketika perlu bersaing dengan artis sedia ada.

“Ini bukan waktunya untuk saya bersikap tamak dan ‘demand’ hanya kerana perkara itu yang akhirnya akan merugikan diri sendiri,” katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri, Manjalara ini mengakui tidak pernah berkira mengenai soal bayaran yang bakal diterima.

Mahu terus lebih versatil, Erry putra turut mengimpikan berada di kerusi pengarahan, menjelang 2017.

“Sebelum ini, saya ada juga terlibat dengan kerja-kerja mengarah seperti travelog dan video klip.

“Tapi, fokus utama saya sekarang adalah untuk menjadi pengarah drama pada tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erry baharu sahaja muncul dalam filem Last Kopek Havoc yang diterbitkan dalam format cakera digital (DVD).

Selain Erry, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Pablo Amirul, Johan Raja Lawak, Saiful Apek, Wan Hanafi Su, Chacha Maembong, Sofi Jikan, Fezrul Khan, Azad Jasmin dan Bell Ngasri.

“Saya percaya dengan kaedah promosi yang dibuat kerana saya pernah melalui sendiri pengalaman seperti ini,” katanya.

Kini, Erry berkolaborasi dengan Jeff daripada kumpulan A to Z menyiapkan lagu duet terbaharu Elly Mazlein bersama Uchop (Vokal Bukan Sekadar Rupa 2) iaitu Cerita Cinta Kita.

Pada masa sama, Erry juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri Bunga Lalang yang menuntutnya bertutur dalam dialek Kelantan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");