Membawang Hari Ini

Falisha Crossley jadi suri hati Mr Pilot Januari depan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Falisha Crossley, 31, akan melangsungkan pernikahan dengan juruterbang yang hanya mahu dikenali sebagai Rafiq pada 1 Januari depan di Kuching, Sarawak.

Katanya, bakal suaminya yang bertugas di sebuah syarikat penerbangan terkenal memilih tarikh berkenaan sebagai simbolik genap setahun mereka memadu kasih.

“Awalnya kami rapat menerusi telefon sekitar Mei tahun lalu. Tiga bulan kemudian kami ada berjumpa dan terus terputus hubungan. Pada Disember kami bersua kembali dan seterusnya 1 Januari lalu, dia luahkan perasaan sukakan saya.

“Ikutkan memang pantas hubungan kami namun saya anggap ini jodoh yang kuat. Biarlah tidak selalu berjumpa kerana komitmen kerja, telefon jadi pengikat kasih. Ogos lalu juga dia memberanikan diri berjumpa abang saya kerana mahu membawa hubungan kami ke fasa lain.

“Abang memberi lampu hijau. Satu hari dia cakap nak kahwin dengan saya. Saya balas, kenalah jumpa ibu bapa saya. Dia tersenyum. Rupa-rupanya dia melakukan semua itu tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Pelakon Baharu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit itu menyatakan majlis pernikahan akan dilangsungkan di masjid manakala di sebelah malam diadakan pula resepsi di dewan.

Falisha yang bakal menjadi suri hati Mr Pilot berusia 32 tahun itu berkata demikian ketika ditemui BH Online pada majlis persandingan teman seperjuangannya yang juga pelakon, Lufya dan Che Muhammad Hafiz, malam tadi.

Akui gadis berasal dari Bumi Kenyalang itu lagi, majlis pertunangan mereka diadakan pada 27 Ogos lalu di kediaman keluarganya di Kuching namun hanya dihadiri keluarga terdekat.

“Saya kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan di Kuala Lumpur kerana ada tajaan sini yang akan dibawa ke Kuching termasuk persalinan, kek dan banting. Mujur di sana (Kuching) ibu saya yang menguruskan semuanya,” katanya.

Dia yang akan muncul dengan telefilem Aku Tak Marah, drama Anak Bertuah selain menunggu filem keduanya, Malaysia Rejimen tak lama lagi mengakui berdebar menanti detik bahagia mereka yang tidak sampai sebulan saja lagi.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");