Membawang Hari Ini

Farah Fauzana terus istiqamah dalam kerjaya

SETIAP individu mahukan yang terbaik dalam hidup, baik dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi. Lalu, perancangan teliti adalah antara rahsia sukses bagi menjamin agar kelangsungan hidup lebih baik pada masa akan datang.

Itulah antara kunci kehidupan yang dipraktikkan selebriti terkenal, Fara Fauzana atau nama lengkapnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil, 36, yang mengakui, untuk melakukan yang terbaik dalam perjalanan kerjayanya, dia terlebih dahulu akan merancang sesuatu itu dengan lebih awal.

“Jujurnya, saya gemar membuat perancangan dan selalunya saya akan rancang apakah yang saya lakukan enam bulan lebih awal.

“Jadi, apabila adanya sesebuah perancangan itu, sesuatu perkara yang akan dilakukan menjadi lebih teratur dan mengelakkan kita kelam-kabut pada saat-saat akhir,” ujarnya yang kini mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia penyiaran radio setelah lebih 10 tahun aktif sebagai penyampai radio.

Ditanya mengenai persoalan tersebut dengan lebih lanjut, bintang yang dilahirkan pada 7 Februari 1980 ini menjelaskan, keputusannya itu tidak terikat atas desakan sesiapa.

Sebaliknya, ia terbit sejak tahun lalu lagi dan baginya, sudah tiba masa buatnya untuk beri fokus kepada cabang kerjaya lain, misalnya sebagai penceramah bebas.

“Pada masa sama, saya kini juga bertindak sebagai juri untuk program Pencetus Ummah musim terbaru, selain sibuk dengan tugasan mengacarakan Separuh Akhir Muzik-Muzik.

“Selain itu, saya juga ada beberapa projek dengan sebuah kementerian untuk penghujung tahun ini dan awal tahun depan.

“Cuma saya tidak boleh untuk dedahkan apakah projek tersebut dengan terperinci kerana ia masih lagi di peringkat perbincangan. Apa pun, saya mengharapkan yang terbaik, insya-ALLAH,” tambahnya lagi.

Mahu versatil

Melihat kepada perkembangan kerjaya seninya sejak 2004 sehingga kini, Fara yang pernah beraksi menerusi beberapa filem seperti SH3, Jin Notti dan Pontianak vs Orang Minyak pada 2012 ini mengakui, sebagai selebriti, dia mahu masyarakat menilainya sebagai seorang artis versatil.

“Saya mahu menjadi versatil. Prinsip hidup saya mudah, jika sudah lakukan sesuatu yang baharu, saya akan cuba lakukan ia dengan sehabis baik.

“Bukan hanya untuk ‘mencantikkan’ portfolio seni semata-mata. Sebaliknya, saya akan berusaha keras agar ia dapat memberikan saya kepuasan.

“Jadi sebab itulah, apabila berehat dalam dunia penyiaran radio, saya akan buka buku baharu dengan melakukan sesuatu yang baik juga untuk diri saya. Doakan yang terbaik ya,” pinta Fara yang mengakui untuk tahun depan, dia juga mahu melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga tersayang.

“Setiap individu mahukan yang terbaik di dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah saya. Dalam kehidupan peribadi, saya hanya berdoa dan berserah kepada ALLAH SWT.

“Keadaan diri saya masih lagi sama seperti dulu. Masih sibuk dengan kerja dan apa yang penting, ajari diri kita untuk melihat sesuatu yang positif dalam apa sahaja yang berlaku.

“Hal yang tidak baik sekalipun, pasti akan ada nilai baiknya walaupun sedikit. Ambil pengalaman atas apa yang berlaku dan laluinya dengan lebih berhemah.

“Jangan sesekali kita mengeluh andai menerima sesuatu musibah. Fikir, apakah hikmah yang bakal diterima daripada musibah tersebut. Benar, tidak selalunya kita akan gembira dan tiada langsung tekanan, namun berusahalah untuk menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan optimis,” akhiri Fara.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");