TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Pepatah ini sesuai sekali untuk menggambarkan perjalanan karier seni pelakon yang kini sedang meningkat naik, Fattah Amin.
Siapa sangka, pada awal kemunculannya, lakonan Fattah dikritik teruk dan ramai menyifatkan dia pelakon ‘kayu’ ketika tampil menerusi drama Playboy Itu Suami Aku.
Bagaimanapun, gelaran itu tidak mematahkan semangat pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin, 26, untuk terus memperbaiki lakonannya.
Hasilnya, dia berjaya membuktikan lakonan mantap melalui watak Ejaz Fakhri dalam drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot dan terus digilai hingga kini.
Di sebalik populariti itu, nama Fattah tercalit kerana isu sombong dan lupa diri.
Mengulas mengenai dakwaan itu, kata Fattah, dia masih menjadi dirinya sendiri dan tetap membawa karakter sama seperti awal kemunculannya dahulu.
“Saya kira isu sebegini biasa di dengar apabila seseorang itu mula dikenali tapi saya tidak memandang enteng apa yang dikatakan.
“Mungkin benar pada ketika itu saya terlupa nak senyum atau nak pandang seseorang atau penat sehingga orang ingat saya sombong.
“Lain kali, saya akan pastikan sentiasa senyum, pandang orang dan layan mereka dengan baik,” katanya yang berjanji tidak akan lupa diri.
Mengakui terkejut dengan popularitinya atas sambutan hangat drama Suri Hati Mr. Pilot, Fattah berkata, dia terharu dengan reaksi penonton.
“Walaupun drama tersebut sudah berakhir, tapi kami tetap memenuhi jemputan bertemu peminat termasuk di Sabah dan Brunei tidak lama lagi.
“Bahkan ada juga syarikat yang mahu saya tampil bersama Neelofa. Ada peminat yang masih belum berganjak dengan penampilan kami,” katanya yang meminta semua mendoakan yang terbaik untuknya dan Neelofa.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, Fattah berkata, dia kini sedang sibuk menghadiri beberapa kempen, menghadiri majlis dan dalam masa yang sama menjadi duta produk.
“Saya tidak dapat lagi mengambil tawaran berlakon drama bersiri kerana sibuk dengan undangan pelbagai majlis.
“Cuma tidak lama lagi, saya akan kembali berlakon sebuah telefilem bergenre thriller dan tampil dengan watak seorang psiko. Saya mahu melihat bagaimana penerimaan peminat terhadap lakonan saya nanti,” ujarnya.
Bukan hanya sibuk dengan karier, dia dan keluarga baru sahaja mengambil alih perniagaan kafe, Stalkercafe by Fattah Amin di Kota Damansara.
Menurutnya kafe berasaskan makanan barat itu mendapat sambutan menggalakkan dan ada menu habis dalam masa beberapa hari selepas berkongsi di laman Instagramnya.
Jalin kerjasama
Dalam perkembangan lain, Fattah kini bergelar duta pakaian Far8 dan turut menjalin kolaborasi menerusi jenama pakaian FattahaminXF8 yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu.
Tidak hanya bergelar duta, Fattah menyumbang ideanya terhadap penghasilan pakaian yang dikeluarkan itu.
“Sebenarnya Fattah dan Farid sudah bekerjasama sejak tahun lalu, di mana kami mengeluarkan kurta dan sambutannya sangat menggalakkan.
“Jadi tahun ini kami meneruskan kerjasama memperkenalkan pakaian kasual dan saya berkongsi idea dalam rekaannya, cuma material diserahkan kepada Farid,” katanya yang turut mengusahakan sebuah gimnasium.
Mengakhiri perbualan, Fattah turut mengakui merancang mengeluarkan rekaan pakaian sempena lebaran tahun depan.-sinar harian