SINTOK – Graduan universiti dinasihat supaya menolak sifat taksub, fanatik dan fahaman melampau bagi mengekalkan kemakmuran negara, titah Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.
Baginda bertitah pendekatan wasatiyah, berimbang dan mementingkan kecemerlangan pendidikan perlu diambil bagi mengelak kestabilan negara menjadi porak-peranda.
“Harus diingat dan dihayati bahawa perpaduan dan kestabilan masyarakat Malaysia merupakan antara rencah yang amat penting dalam menjamin kemajuan negara yang dicintai ini.
“Saya berdoa dan berharap agar naratif Malaysia yang membolehkan kita sampai ke tahap ini berkekalan,” titahnya sempena Majlis Konvokesyen Ke-29 UUM di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mewakili Menteri Besar Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir.
– Bernama