MUAR: “Barangan berharga seperti barang kemas termasuk telefon bimbit dan duit simpanan semuanya lesap. Perompak cuma tinggalkan tabung duit perbelanjaan untuk cucu ke sekolah, itu pun selepas kami beritahu tujuan wang itu digunakan,”.
Demikian cerita seorang warga emas saat rumahnya dipecah masuk dua hari lalu di Kampung Sungai Muda, Sungai Balang di sini.
Abdul Wahab Khalil, 71, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, dia dan isterinya, Salmah Ahmad, 66, yang sedang tidur terjaga selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari luar bilik.
“Masa tu isteri kejutkan saya kerana syak ada kemalangan di luar memandangkan rumah kami terletak berhampiran jalan raya.
“Bagaimanapun, ketika berkira-kira untuk bangun dan melihat apa yang sedang berlaku, pintu bilik saya diketuk beberapa kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Abdul Wahab, dia dan isteri pada mulanya menyangka pintu bilik diketuk anak lelakinya yang tinggal serumah dengan mereka, namun mulai rasa curiga apabila pertanyaannya tidak berjawab.
“Mulanya ingat anak kami yang ketuk pintu. Kami panggil namanya tapi tak disambut. Dia hanya diam tapi terus mengetuk pintu bilik sehingga saya terpaksa bangun dan buka,” katanya.
Ceritanya, sebaik pintu dibuka, dia terkejut apabila sebilah pisau diacu ke lehernya sambil dia serta isteri diarah supaya tidak melawan dan mengikut kehendak mereka.
“Saya lihat seramai tiga individu yang pecah masuk rumah saya malam itu. Dia tidak mengapa-apakan kami, cuma selepas mengacu pisau, dia terus ikat saya menggunakan wayar seterika.
“Perompak itu pada mulanya mahu ikat isteri saya, namun saya halang dengan mengatakan bahawa dia (isteri) tak sihat dan minta agar tidak membuat yang bukan-bukan kepada kami,” katanya.
Abdul Wahab yang juga bekas ketua kampung di situ berkata, sejurus kemudian, dia melihat anak lelakinya itu diikat, manakala menantunya hanya diam ketakutan.
“Sebaik perompak itu masuk ke bilik kami, dia terus menggeledah almari dan rak pakaian sebelum menemui sejumlah barang kemas milik isteri yang dikumpulkan dalam sebuah laci.
“Habis semua barang kemas termasuk yang jenis zhulian dikebas perompak. Beg duit, telefon bimbit dan beberapa jam tangan berjenama turut dirampas,” katanya.
Warga emas itu berkata, setelah semua barang berharga diambil, perompak itu kemudiannya menemui sebuah balang mengandungi wang RM1 yang dikumpulkan.
“Sebaik mereka perasan balang tu, dia terus buka dan ambil segenggam duit berkenaan. Bagaimanapun niatnya terhenti sebaik isteri beritahu bahawa duit itu untuk kegunaan cucu pergi sekolah, jadi tak perlulah diambil.
“Perompak itu kemudiannya meletakkan semula duit tersebut sebelum beredar keluar setelah hampir sejam memecah masuk rumah kami,” katanya.
Sementara itu, bagi Salmah, dia menganggap kejadian pertama kali itu adalah ujian besar buat mereka sekeluarga.
“Walaupun rasa rugi dengan kehilangan harta benda kami, namun saya bersyukur kerana semua selamat dan tak diapa-apakan. Malah empat cucu yang sedang tidur lena juga tak dikejutkan perompak berkenaan.
“Cuma rasa terkilan apabila duit simpanan untuk pergi umrah yang telah dikumpul beberapa tahun lalu berjumlah lebih kurang RM6,000 turut dikebas,” katanya.
Akibat kecurian itu, mereka sekeluarga kerugian lebih kurang RM80,000 termasuk wang simpanan bernilai RM20,000 serta beberapa telefon bimbit hilang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, 12 warga Indonesia berumur lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan kelmarin, bagi membantu siasatan.
“10 daripada mereka diberkas kira-kira dua jam selepas kejadian, manakala baki dua lagi suspek ditahan selepas itu hasil siasatan awal dijalankan polis,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
-Sinar Harian