Membawang Hari Ini

Hafreez Adam Lantik Kakak, Adik Urus Kerjaya

KUALA LUMPUR: Pelakon Hafreez Adam memberitahu keputusan untuk tidak lagi bernaung bawah Uprising Entertainment sejak bulan lalu bukan disebabkan mempunyai masalah dengan syarikat pengurusan tersebut.

Hafreez, 26, sebaliknya berkata, dia ingin berdikari dalam menentukan hala tuju kariernya selain sedang melatih kakak dan adik lelakinya sebagai pengurus dan pembantu peribadi.

“Keputusan saya itu kerana saya berfikir tentang masa depan dan ingin mula berdikari dan sebab itu saya mengambil keputusan meninggalkan Uprising Entertainment.

“Keputusan itu dibuat secara baik dan atas perbincangan bersama tambahan pula saya kini sedang melatih kakak dan adik lelaki untuk menguruskan kerjaya saya,” katanya kepada mStar Online.

Hafreez ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Pengantinku Jatuh Dari Langit yang diadakan di Bukit Bintang di sini, Khamis.

Selain Hafreez yang memegang watak utama, drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Afifah Nasir, Faye Kushairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Ia bakal bersiaran bermula 30 November ini pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).

Dalam pada itu, Hafreez berkata, dia memilih ahli keluarga untuk menguruskan kerjayanya kerana mementingkan keselesaan selain mereka lebih memahami keperluan dah kehendaknya.

Tambahnya lagi, adik lelakinya juga sering menemaninya menghadiri acara hiburan selain ke loksi penggambaran dan mula memahami tentang kariernya sebagai pelakon.

“Kakak saya seorang akauntan sebelum ini dan saya serahkan soal jadual, tawaran dan isu-isu pengurusan kepadanya manakala adik akan sentiasa mengikut saya sebagai pembantu.

“Sebelum ini pun dia sudah banyak terdedah dengan kerja saya kerana sering mengikuti saya tetapi masih banyak yang perlu saya ajar.

“Bersama keluarga saya lebih selesa dan mereka lebih memahami kehendak dan keperluan saya,” jelasnya.

Bercakap mengenai gandingannya dengan Afifah dalam Pengantinku Jatuh Dari Langit, Hafreez berkata, dia selesa bekerja dengan pelakon baharu itu walaupun pada awalnya agak kekok.

Bagaimanapun kata Hafreez mereka kini lebih memahami dalam mencari titik persamaan menerusi watak masing-masing dan berharap lakonan mereka diterima baik peminat.

“Kami sekarang sudah seperti satu keluarga dan pengalaman menyiapkan drama ini cukup menyeronokkan.

“Karekter dan personaliti kami yang berbeza dalam drama ini membuatkan ia bertambah menarik,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafreez berkata dia bakal muncul dalam sebuah drama usahasama Indonesia dan Malaysia berjudul Gantung untuk siaran Astro tidak lama lagi.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");