Membawang Hari Ini

‘Hanyut’ bawa mesej berbeza

SELEPAS empat tahun menunggu, akhirnya filem epik arahan U-Wei Shaari, memasuki pawagam.

Hanyut, naskhah adaptasi dari novel Almayer’s Folly, tulisan Joseph Conrad ini ternyata berbaloi dinanti apabila filem yang menjalani penggambaran sekitar 2010 ini tampil dengan persembahan yang begitu mengagumkan, dari segenap aspek termasuk kandungan naskhahnya, teknikal mahupun lakonan barisan bintangnya.

Mengambil latar masa tahun 1830-an iaitu zaman penjajahan kuasa asing ke atas Tanah Melayu, gambaran persekitarannya cukup meyakinkan.

Lebih menarik, pada zaman kaum lelaki dianggap dominan dan berkuasa, naskhah ini cuba mengangkat kaum wanita melalui watak Mem (Datin Sofea Jane), Nina (Diana Danielle) dan Taminah (Rahayu Saraswati) yang berjaya memporak-perandakan pengaruh lelaki.

Pembikinan Hanyut sebanyak RM18 juta dihasilkan dengan cukup teliti dan boleh disifatkan bertaraf antarabangsa.

Tidak hairanlah filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lipis, Pahang mendapat pujian di luar negara dan menjelajah ke festival filem antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Rusia, Australia, Singapura dan Indonesia.

Sebelum ditayangkan di pawagam tanah air, filem ini sudah menemui penonton Indonesia pada 2014 dengan tajuk Gunung Emas Almayer.

Hanyut mengisahkan tentang Kasper Almayer (Peter O’Brien), pedagang dari Belanda yang merantau dan membina hidup di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.

Almayer menyimpan impian mencari gunung emas yang dikatakan wujud di Tanah Melayu dan pada masa sama mahu membina masa depan yang sempurna buat anak gadisnya, Nina selain menyelesaikan konflik dengan isterinya, Mem.

Selain tunjang utamanya, gandingan nama-nama besar seperti Khalid Salleh, Bront Palarae, Sabri Yunus, Alex Komang, Normah Damanhuri juga menjadi kekuatan buat filem ini apabila masing-masing menghidupkan peranan yang diberi dengan cukup berkesan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");