Membawang Hari Ini

Harap mereka berjaya

Nun jauh di negara seberang, enam penyanyi kita mencuba nasib dalam satu pertandingan realiti Indonesia. Mungkin ramai terlepas pandang perjuangan mereka di Dangdut Academy Asia 2 (DAA2) di Jakarta, Indonesia sejak 23 Oktober lalu.

Bagi yang tidak tahu, DAA2 adalah acara tahunan dianjurkan stesen televisyen Indosiar membabitkan peserta dari Asia Tenggara untuk menentukan siapa penyanyi dangdut nombor satu.

Kalau tahun lalu penyanyi Shiha Rizki membuka mata penonton Indonesia apabila memberi saingan hebat kepada peserta tuan rumah dan menduduki tempat ketiga, tahun ini enam penyanyi yang mencuba nasib tidak kurang hebatnya.

Enam penyanyi dari Malaysia ialah Syura, Asmidar, Elda Susanti, Zizi Kirana, Roger Kajol dan Jiwa Firdaus. Tahun ini peserta Malaysia dan Indonesia bersaing dengan peserta dari Thailand, Timor Leste, Singapura dan Brunei apabila DAA2 meluaskan penyertaannya.

Mereka dibahagi kepada enam kumpulan dan sehingga kini, Elda, Syura, Asmidar dan Roger Kajol masih meneruskan perjuangan.

Pada 23 November lalu, Elda membuatkan penonton, barisan juri dan komentator DAA2 terpukau apabila menyampaikan lagu Anak Yang Malang.

Lagu mengenai anak yatim yang diseksa ibu tiri, membuatkan mereka terkedu hingga ada yang menitiskan air mata. Begitulah hebatnya penangan persembahan penyanyi kelahiran Johor ini.

Elda berada dalam kumpulan C berentap dengan dua peserta lain, Ihsan Tarore (Indonesia) dan Hazwan Mohamad (Brunei) ketika peringkat Top 18.

Pada malam pengumuman 24 November, Elda mendapat undian di tempat kedua manakala Hazwan tersingkir kerana mendapat markah paling rendah. Elda kini layak ke peringkat seterusnya.

Elda Susanti, 34, dikenali melalui lagu-lagu dangdut dan pernah menghasilkan dua album, Yang Ku Sayang pada 1997 dan Semakin Sayang (1999).

Bagaimanapun, 15 tahun lalu Elda memilih untuk berundur apabila lagu dangdut kurang mendapat sambutan. Tambah pula ketika itu agak sukar untuknya meneruskan perjuangan kerana berhijab.

Elda memakai tudung ketika usia 18 tahun dan ketika itu karier nyanyiannya semakin suram dan tidak banyak undangan persembahan. Penerimaan penganjur dan peminat terhadap penyanyi bertudung ketika itu sangat berbeza dengan hari ini hingga dia akur.

Elda mengambil keputusan melupakan seketika bidang nyanyian dan memberi fokus kepada pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Baru-baru ini Elda yang berstatus isteri dan mempunyai lima anak, bersemangat kembali untuk menyanyi apabila menyertai Dangdut Star di Astro Prima dan kini mencuba nasib di Indonesia pula.

Elda melalui Facebooknya Jumaat lalu mengucapkan rasa syukur dan terharu atas sokongan dan sambutan diberikan kepada beraksi di pentas DDAA2.

“Kekuatan saya semuanya berkat doa daripada semua keluarga saya di Malaysia dan Riau,” katanya.

Selain peserta Malaysia, DAA2 juga memberi penghormatan kepada Ifa Raziah dan Mas Idayu untuk duduk sebaris bersama Rita Sugiarto, Inul Daratista, Iis Dahlia, Soimah dan Ivan Gunawan sebagai komentator.

Juri DAA2 pula ialah Hetty Koes Endang, Hendro Saky, DJ Daffy, Zul 2BY, Pak Ngah dan Mayuni Omar.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");