IPOH : Usaha untuk menggalakkan golongan pemuda menceburi sektor pertanian terutamanya tanaman makanan, pelbagai insentif berbentuk bantuan input, infrastruktur dan peralatan pertanian diperuntukkan oleh kerajaan negeri.
Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamed (BN-Kota Tampan) berkata, peruntukan itu disediakan setiap tahun dan boleh dipohon oleh semua petani termasuk golongan belia.
“Pada tahun 2016, jumlah yang diperuntukkan adalah RM1.235 juta dimana program ini adalah program tanaman makanan florikultur yang berpotensi.
“Ianya meliputi beberapa sub pembangunan kecemerlangan iaitu taman herba negeri Perak, pembangunan industri padi, pembangunan industri buah-buahan, pembangunan sayur-sayuran dan tanaman singkat masa,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Ujarnya lagi, bantuan insentif ini terbuka kepada semua petani yang mengusahakan pertanian dengan tanaman makanan di mana syarat utama ialah mereka perlu mempunyai projek sedia ada disamping menguasahakan projek ditanah yang sah.
“Jabatan Pertanian juga menganjurkan Program Inkubator bagi usahawan tani, Porgram Bimbingan Usahawan bagi sektor industri Asas Tani dan juga latihan-latihan berjadual di lima Pusat Latihan Pertanian dan Pusat Bimbingan Usahawan kendalian Jabatan Pertanian Negeri Perak.
“Pusat latihan tersebut ialah Pusat Latihan Manong, Pusat Latihan Pertanian Lekir, Pusat Latihan Pertanian Degong, Pusat Latihan Pertanian Selama dan Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian Titi Gantong,”ujarnya.