IPOH: Proses penempatan semula melibatkan seramai 41 petani dan penternak di kawasan seluas 500 ekar Bio Valley Kampar akan dilaksanakan selepas kedua proses utama iaitu pengeluaran pasir silika dan kerja-kerja meratakan tanah selesai dijalankan oleh Pihak Perbadanan Menteri Besar pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamed berkata,apabila kedua proses tersebut selesai, pihak Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) akan mula menjalankan proses penanaman kelapa sawit pada Mac 2017 bagi setiap ekar untuk diberimilik kepada 41 orang petani dan penternak terbabit.
“Para petani dan penternak yang terbabit telah dimaklumkan mengenai cadangan penyelesaian melalui beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan pejabat daerah dan tanah kampar.
“Para petani turut bersetuju dengan cadangan penyelesaian tersebut iaitu tawaran lot pertanian kelapat sawit seluas 3 ekar dan dibangunkan oleh UTAR.’’ Katanya menjawab soalan lisan ADUN Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) pada Sidang Dewan Negeri Perak di Ipoh hari ini.
Sementara itu beliau turut menjawab soalan tambahan diajukan oleh Datuk Zainun Mat Nor (BN-Chendroh) yang ingin mengetahui sama ada terdapat langkah sedemikian turut dijalankan di kawasan lain, katanya, cara penyelesaian yang dibuat ini tidak bermaka membenarkan kegiatan penerokaan haram tetapi kerajaan negeri bersedia berbincang dengan pihak terlibat jika ada keadaan ‘menang-memang’ bagi kedua- dua belah pihak.