Membawang Hari Ini

Janna Nick mohon maaf isu ‘body shaming’

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Janna Nick memohon maaf secara terbuka di atas keterlanjurannya memberi komen terhadap bentuk fizikal artis Hollywood kelahiran Australia, Ruby Rose yang disifatkan biadap oleh sesetengah netizen.

“Saya minta maaf di atas kebodohan saya. Saya sudah lama mengikuti Ruby Rose di Instagram dari zamannya berisi hingga kurus. Saya sendiri tidak tahu wujud terma ‘body shaming’ iaitu komen atau sikap negatif terhadap saiz dan berat badan seseorang sedangkan saya tidak bermaksud apa-apa.

“Komen itu sebenarnya saya tulis sejak lima bulan lalu. Tapi apabila Instagram mengemaskini sistem, komen saya secara automatik dilihat individu yang saya ikuti di laman bergambar berkenaan.

“Sebab itu ia menjadi viral namun ikutkan saya malas mahu melayan isu ini. Saya pun awalnya tidak tahu budaya orang sana berhubung komen fizikal secara terbuka adalah sesuatu yang dianggap menghina.

“Saya sendiri ramai memberi komen ‘gemuk’ tetapi saya okey saja,” katanya yang membuat meluahkan permohonan maaf itu menerusi laman sosial miliknya, Twitter dan Facebook, semalam.

Terdahulu, isu berkenaan timbul selepas komen Janna di status selebriti terbabit yang memintanya menambah berat badan dikritik peminat Ruby, sekali gus membuatkan pengikut Janna pula melakukan serangan balas.

Perang maya dengan berbalas komen di bawah gambar artis luar negara yang berbikini itu dan dimuat naik sekitar Ogos lalu nyata masih berterusan membuatkan pelakon berusia 21 tahun itu mengambil langkah meminta maaf.

“Sebagai manusia saya tidak lepas melakukan kesilapan. Kalau pandai sangat, saya mungkin sudah jadi doktor. Kini saya tahu ‘body shaming’ itu tidak elok. Malah saya tulis komen itu pun tanpa menjangka Ruby atau peminatnya mengenali saya.

“Artis pun ada rasa macam orang biasa, jadi wira papan kekunci seperti netizen sekarang ini. Kalau betul saya hendak kutuk fizikal orang, boleh saja saya kutuk sesama artis Malaysia. Mungkin saya sepatutnya komen kepada Ruby dalam bahasa Kedah,” tulisnya lagi.

Pada masa sama, gadis berdarah campuran Melayu, Pakistan, Cina dan Thailand itu berharap tempias yang tercetus tidak terpalit kepada artis Malaysia lain kerana ia terjadi di atas kekhilafan sendiri.

“Saya minta maaf kalau komen ditulis untuk Ruby itu buat semua sakit hati. Tetapi jangan babitkan artis Malaysia yang lain kerana saya seorang saja yang bebal. Saya akan teruskan kerja seni ini. Kalau tidak suka lagu saya jangan dengar radio. Kalau tidak suka lakonan saya, jangan buka TV.

“Kalau tak suka pemakaian saya dan cara pembawaan diri, janganlah mengendap. Tegurlah, saya boleh terima dengan hati terbuka. Kita manusia boleh tahu membezakan perkara positif dan negatif,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");