IPOH:Sebanyak 364 kes pembakaran terbuka telah disiasat dari tahun 2014 sehingga bulan Oktober 2016 oleh Jabatan Alam Sekitar Perak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria maklumat pembakaran terbuka itu diterima dari pelbagai pihak seperti Bomba, hotspot, unit peronda JAS.
“Daerah Batang Padang mencatatkan sebanyak 35 kes pembakaran terbuka, Hilir Perak sebanyak 24 kes, Hulu Perak mencatatkan sebanyak bilangan kes yang paling banyak iaitu 125 kes.
“Daerah Kerian dan Kinta mencatatkan jumlah kes yang sama iaitu 19 kes, Kuala Kangsar sebanyak 45 kes, Larut Matang Selama (Taiping) mencatatkan sebanyak 36 kes dan Manjung mencatatkan sebanyak 32 kes manakala Perak Tengah sebanyak 29 kes pembakaran terbuka,” katanya menjawab soalan lisan yang diajukan ADUN Leow Thye Yih (DAP-Aulong) pada persidangan Dewan undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tegas Muhammad Amin lagi, pihak yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan kompaun dan tindakan mahkamah sekiranya didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka dengan sengaja.
“Sebanyak 148 kompaun telah dikeluarkan pada tahun 2014 sehingga bulan Oktober 2016 di atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya lagi.
Tambahnya lagi pihak JAS sentiasa melakukan promosi kesedaran kepada orang ramai khususnya kepada generasi muda melalui ceramah-ceramah, forum dan dialog.
“JAS juga mempunyai peruntukan undang-undang melarang melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pihak JAS juga dari semasa ke semasa sentiasa memantau aktiviti pembakaran terbuka melalui rondaan mencegah pembakaran terbuka setiap hari dengan mewujudkan pasukan peronda JAS,” katanya.
Tambahnya peranan orang ramai juga sangat penting dalam menjaga kualiti alam sekitar dan perkara tersebut.