Berita Hari Ini

JKDM, LHDN lancar operasi kesan cukai tertunggak

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan operasi bersama bagi mengesan pembayar cukai serta syarikat yang ingkar membayar cukai di negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan GST), Datuk Zulkifli Yahya, berkata ‘Operasi Mesra Hasil’ menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksanakan bermula hari ini sehingga 22 Disember ini.

“Ini julung kali ia diadakan, membabitkan 34 anggota penguat kuasa JKDM dan 20 anggota penguat kuasa LHDN,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Mesra Hasil di Pejabat Kastam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kastam Negeri, Mohd Nasir Yusoff; Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN Putrajaya, Abd Manap Dim; serta Pengarah LHDN Negeri Terengganu/Kelantan, Mahhani A Manan.

Zulkifli berkata, antara tumpuan operasi ialah mengesan syarikat yang sepatutnya berdaftar dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi gagal berbuat demikian.

“Kita mengenal pasti 676 syarikat yang mengemukakan penyata tanpa bayaran membabitkan 1,121 penyata cukai berjumlah RM14 juta sejak Januari sehingga Oktober 2016,” katanya.

Sementara itu, Abd Manap berkata, LHDN mengesan 331 pembayar cukai, syarikat dan perniagaan yang mengelak daripada membayar cukai pendapatan berjumlah RM43 juta.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");