Membawang Hari Ini

Jom imarah masjid

Menurut tafsiran ulama, mengimarahkan masjid membawa dua maksud iaitu membina, memelihara dan memperbaikinya sekiranya perlu.

Kedua, bermaksud mengunjunginya sebagai suatu amalan lazim untuk menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di samping melakukan aktviti lain ke arah melahirkan pengabdian kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW pula menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti sabdanya, “Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah membangunkannya rumah di syurga” (Riwayat Muslim).

Lantaran itu, bagi menyahut seruan itu, pengacara dan personaliti TV, Wan Kamarudin Wan Ibrahim atau Wan K menerusi syarikat produksinya,One-to-One View Sdn Bhd menerbitkan program Imarah Masjid.

Program 13 episod itu bersiaran setiap Isnin, jam 7.30 malam di Astro Oasis. Penerbitan program itu disokong bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Wan K, program itu memaparkan peranan institusi masjid yang bukan hanya sebagai tempat beribadah bagi golongan tertentu, malah meliputi peranan sebagai pusat penyatuan ummah, pusat komuniti setempat dan kebergantungan masyarakat dari sudut sosial serta ekonomi.

“Ini selaras fungsi institusi masjid yang mencakupi pelbagai peranan ketika Islam berada dalam zaman kegemilangan. Sebelum program ini dirakamkan di setiap masjid terpilih, produksi ke masjid itu terlebih dulu untuk berbincang dengan kariah mengenai konsep dan aktiviti dijalankan sepanjang penggambaran,” katanya.

Pada musim pertama, 13 masjid terbaik iaitu lima masjid daerah dan lapan masjid kariah seluruh negara dipaparkan dalam setiap episod. Kesemua masjid terpilih itu mewakili setiap negeri ketika diadakan Anugerah Masjid Malaysia, anjuran Jakim pada 2014.

Ia adalah Masjid At Taqwa Bertam Indah Kepala Batas, Pulau Pinang; Masjid Sultan Ibrahim Muar, Johor; Masjid An Naim Teluk Intan, Perak; Masjid Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan; Masjid Kampung Temin, Jerantut, Pahang; Masjid As Salam Puchong, Selangor; Masjid Al Ghaffar Jasin, Melaka dan Masjid Batu Hampar Jalan Telemong, Terengganu.

Tidak terkecuali, Masjid Kampung Pauh Terachi Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Masjid Darul Ehsan Miri, Sarawak; Masjid Al Irshad Serdang, Kedah; Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar, Perlis dan Masjid Baitul Rahman, Tawau, Sabah.

“Program ini memberi penekanan kepada aktiviti pengimarahan yang dilakukan di setiap masjid,” katanya.

Imarah Masjid dihoskan bekas peserta Imam Muda dan Pencetus Ummah yang muncul secara bergilir seperti Imam Muda Arrazi, Pencetus Ummah Mericho, Pencetus Ummah Fidz dan Imam Muda Nuri.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");