Jenayah

Jual ubat konon…

Kuantan: Tindakan seorang lelaki mempergunakan empat remaja untuk mengutip derma membawa padah apabila dia ditahan bersama kumpulan remaja terbabit di stesen minyak di Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 malam, suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota polis ketika berada di dalam kereta Naza Citra dipercayai menunggu kumpulan remaja lelaki terbabit membawa hasil kutipan derma daripada orang awam.

Difahamkan, suspek turut mengekploitasi remaja berkenaan untuk menjual ubat sambil meminta derma di restoran dan stesen minyak di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, terdahulu, serbuan diketuai Asisten Superintendan Mohd Nayan Mokhtar dari Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang menahan seorang remaja berusia 17 tahun sedang mengutip derma di sebuah restoran di Jalan Tun Ismail, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas remaja itu menemui telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM145, sekeping kad nama tertera Pertubuhan Pendidikan dan Latihan Amal Bistari bersama 11 botol ubat tertera perkataan gel herba serta sekeping surat daripada pertubuhan sama.

“Remaja itu memberitahu dia bersama tiga lagi rakannya diarahkan seorang lelaki untuk menjalankan kegiatan berkenaan sebelum polis membuat serbuan kedua di sebuah stesen minyak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, ekoran itu, polis menahan lelaki terbabit bersama tiga lagi remaja berusia 15 hingga 17 tahun dipercayai digunakan untuk mengutip derma.

Menurutnya, polis merampas wang tunai RM964 bersama buku, lima telefon bimbit jenama Nokia dan 11 botol ubat herba serta tujuh gulung kalendar.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");