PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan satu lagi mesyuarat khas bagi membincangkan lebih lanjut susulan keputusan awal menolak peletakan jawatan presiden, Tan Sri Annuar Musa, pada Selasa ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, mesyuarat yang dihadiri semua exco Kafa itu bakal membincangkan secara terperinci mengenai isu peletakan jawatan presidennya itu.
“Mesyuarat awal lalu kita telah memutuskan tidak menerima peletakan jawatan Tan Sri (Annuar) memandangkan kita masih memerlukan khidmat beliau untuk terus menerajui Kafa sehingga tempoh berbaki (tamat penggal 2018).
“Kita akan mengadakan satu lagi mesyuarat untuk mendapatkan gambaran terkini hasil perbincangan, pada Khamis lalu. Kita buat mesyuarat awal itu memandangkan perlu memberi ketetapan segera terhadap peletakan jawatan presiden,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Liga Bola Sepak Piala Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.
Pada 8 November lalu, Annuar mengumumkan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak lapan tahun lalu, berkuat kuasa serta-merta menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor.
Keputusan Annuar, 60, melepaskan jawatan tersebut disebabkan beliau sudah habis daya kerana terpaksa menempuh pelbagai kesukaran untuk mencari dana bagi menguruskan persatuan itu.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, mesyuarat pengurusan Kafa yang dihadiri tujuh exco mereka termasuk dua naib presiden di Shah Alam, memutuskan menolak surat peletakan jawatan Annuar.
-Sinar harian