MESKIPUN diselubungi isu peletakan jawatan presiden, Tan Sri Annuar Musa, namun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih menagih ‘kudrat’ individu nombor satu dalam persatuannya itu bagi membolehkan The Red Warriors kekal bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, ini kerana pihaknya memerlukan wang jaminan sebanyak RM3 juta sebagai cagaran seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan liga utama domestik itu.
“Setiap tahun, Tan Sri (Annuar) mengeluarkan duit daripada syarikat milik keluarga beliau iaitu Al-Hamra Group, semata-mata mahu memastikan Kelantan bermain dalam Liga-M.
“Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh disangkal tetapi bayangkan jika beliau kekal dengan pendiriannya (melepaskan jawatan) itu, di mana kita hendak cari duit sebanyak itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sebuah akhbar tempatan semalam, melaporkan Kelantan kemungkinan tidak beraksi dalam Liga-M sekiranya gagal menyediakan dana mencukupi untuk membentuk pasukan termasuk jaminan kewangan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu.
Menurutnya, masa kian suntuk buat Kelantan memandangkan tarikh tutup pendaftaran pasukan yang akan bertanding untuk musim depan, akan berakhir pada 24 November ini.
“Dalam tempoh kurang dua minggu ini, kita kena beri pengesahan berserta wang jaminan itu. Itu baharu cerita wang jaminan, belum lagi bercakap soal dana di mana kita perlukan tidak kurang daripada RM15 juta setahun,” katanya.
Ismail tidak menolak sekiranya Kelantan gagal menyediakan wang jaminan tersebut dalam masa terdekat, skuad pantai timur itu kemungkinan berdepan risiko tinggi menarik diri daripada pertandingan kompetitif itu musim depan.
“Bukan itu sahaja, malah pasukan junior seperti skuad bawah 19 dan 21 tahun turut terkena tempias. Pasukan Belia (bawah 19 tahun) ini, layak ke separuh akhir musim ini, tahun lalu berada dalam kelompok empat teratas dan musim 2014 adalah juara.
“Begitu juga skuad Piala Presiden (bawah 21 tahun) ini sudah menjadi juara berturut-turut termasuk tahun ini. Pemain-pemain muda ini ada potensi pergi lebih jauh dan bersaing di peringkat kebangsaan tetapi rugilah jika Kelantan tidak boleh bermain pada musim depan,” katanya.-sinar harian