Melaka: “Hubungan saya dengan pengurusan pasukan Melaka United (MU) tetap baik,” demikian kata bekas jurulatih MU Mat Zan Mat Aris apabila ada pihak mendakwa hubungannya dengan pengurusan pasukan itu renggang selepas kontraknya tidak disambung.
Baginya, tiada istilah tidak mengenang budi walaupun selepas beliau membantu MU menjulang Piala FAM 2015 dan juara Liga Perdana musim ini, sebaliknya keputusan seperti itu dianggap lumrah dalam dunia bola sepak.
Katanya, majikan berhak membuat apa saja keputusan yang difikirkan perlu atau sesuai dengan perancangan jangka panjang untuk memastikan pasukan terus mencapai kecemerlangan.
Beliau menganggap keputusan pengurusan MU adalah demi kebaikan pasukan malah tidak menyalahkan sesiapa mengenai nasib dirinya sekarang.
Ketika ditemui, Mat Zan turut menafikan berlaku perselisihan faham antara dirinya dengan mana-mana individu dalam pengurusan pasukan itu.
“Rezeki saya bersama MU setakat musim ini saja namun hubungan dengan pengurusan, penyokong dan pemain tidak terjejas. Bagi saya dunia bola sepak seperti pusingan roda, tidak mustahil saya juga kembali semula bersama pasukan ini satu masa nanti.
“Memang saya teruja merasai kehangatan saingan Liga Super, sekali gus mencipta hatrik kejayaan buat skuad Hijau Putih, tetapi sudah tak ada rezeki atau jodoh bersama MU.
“Saya yakin MU mampu menyerlah di bawah bimbingan jurulatih baharu yang pastinya mempunyai perancangan terbaik untuk terus memajukan pasukan ini,” katanya.
Menurutnya, dia juga berterima kasih kepada pengurusan atas segala layanan istimewa kepadanya termasuk akan bersama sebahagian pemain dibimbingnya menunaikan Umrah di Makkah pada 17 hingga 28 November ini atas kejayaan MU menjulang Liga Perdana musim ini.
-Harian Metro