Sukan Hari Ini

Kebangkitan semula buat pemain skuasy negara

KEJOHANAN Berpasukan Wanita Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) kali ke-20 yang akan berlangsung di Issy-les-Moulineaux, Perancis, pada 23 November hingga 3 Disember ini, akan menjadi medan kebangkitan semula buat pemain skuasy negara.

Dalam kejohanan sama di Kanada dua tahun lalu, Malaysia buat pertama kali beraksi di pusingan akhir selepas menewaskan pilihan utama, Mesir di peringkat separuh akhir.

Namun skuad negara terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tunduk kepada pilihan kedua kejohanan, England dengan keputusan 2-1.

Pada kejohanan kali ini, seramai 32 pasukan akan mengambil bahagian.

Pasukan Malaysia akan diketuai penyandang juara lapan kali kejohanan dunia, Datuk Nicol David bersama-sama tiga lagi pemain iaitu Delia Arnold, Low Wee Wern dan S Sivasangari yang julung kali membuat penampilan di kejohanan ini.

SRAM sasar top 4

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, untuk kejohanan kali ini SRAM tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, sebaliknya hanya menyasarkan sekurang-kurangnya tempat keempat dalam edisi ke-20 ini.

“Walaupun kami berjaya mencapai kedudukan ke-2 dua tahun lalu, tetapi kami tidak akan meletak sasaran yang terlalu tinggi untuk skuad berpasukan negara.

“Ini kerana kami harus berwaspada dengan ancaman daripada Mesir dan England, dua pasukan yang sedang mendominasi kejohanan skusy buat masa ini.

“Ditambah lagi dengan Wee Wern yang baru pulih dari kecederaan lutut. Ini menyebabkan kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi,” ujar Maniam.

Ditanya tentang pemilihan Sivasangari untuk membarisi pasukan kebangsaan, bagi Maniam, peningkatan yang ditunjukkan pemain itu melayakkan beliau dipilih untuk menggalas cabaran negara.

“Sivasangari mempamerkan prestasi terbaik dalam Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM) tahun ini dan telah mengetepikan Rachel Arnold dalam dua kejohanan.

“Dia telah memenangi kesemua enam kejohanan SSJM, selain turut muncul sebagai juara dalam Kejohanan Juara Junior Asia dan tempat ketiga dalam Kejohanan Junior Dunia pada Ogos dan September lalu,” tambahnya lagi.

Untuk edisi kali ini, Maniam akan berangkat ke Perancis bersama-sama pemain sebagai pengurus pasukan, manakala Peter Genever akan menggalas tugas sebagai jurulatih negara.

Beri aksi terbaik

Dalam pada itu, Sivasangari turut menyatakan keterujaan beraksi dalam kejohanan ini buat julung kalinya.

“Ini merupakan kali pertama saya akan beraksi bersama-sama Nicol, Delia dan Wee Wern sebagai satu pasukan. Saya sangat berbesar hati.

“Walaupun ini penampilan pertama saya, tapi saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik untuk membanggakan nama Malaysia.

“Saya juga mengharapkan sokongan daripada semua rakyat Malaysia untuk mendoakan yang terbaik buat kami dalam kejohanan ini,” ujar anak kelahiran Kedah berusia 17 tahun ini.

Bagi pemain veteran Delia Arnold yang bakal menjadi pemain kedua negara dalam edisi kali ini, cabaran edisi kali ini sungguh sengit, namun tetap yakin untuk memberi aksi terbaik untuk negara.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini dan berjanji untuk memberikan yang terbaik buat pasukan negara.

“Kami sudah begitu hampir merangkul kejuaraan dua tahun lalu, jadi diharapkan kali ini kami mampu memberi kejutan yang sama agar dapat memperbaiki pencapaian lalu,” katanya.

Sementara itu, Wee Wern yang akan menggalas cabaran sebagai pemain ketiga Malaysia, mengharapkan penamat yang cemerlang buat pasukan negara.

“Saya percaya, barisan pemain kali ini adalah yang terbaik untuk menggalas misi kebangkitan negara.

“Bagi saya, Nicol selaku pemain utama negara pasti akan menyalakan semangat kepada kami untuk membawa pulang kejuaraan buat Malaysia.

“Saya berharap, dalam edisi kali ini, kami dapat meneruskan persembahan yang baik seperti kejohanan lalu untuk mencatat kejuaraan buat julung kalinya,” tambah Wee Wern lagi.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");