Sukan Hari Ini

Kelantan kecundang di laman sendiri

KELANTAN gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kecundang 0-1 kepada Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha berdepan tugas sukar untuk bangkit mencari sekurang-kurangnya dua gol pada aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 19 November ini.

Beraksi di atas padang becak, Kelantan hampir berada di depan seawal minit ketujuh namun tandukan kapten, Tuan Mohd Faim Tuan Zainal Abidin tersasar disusuli rembatan Mohd Fikram Mohamad serong di sebelah kanan, pada minit ke-14.

Menuju minit ke-28, pelawat sepatutnya memecahkan kebuntuan menerusi hantaran K Satish namun penyerang, Khairul Naim Mahyuddin lambat melakukan percubaan ke pintu gol sebelum bola dirampas pertahanan tuan rumah.

Tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Kuala Lumpur sekali berpeluang mencipta jaringan tetapi rembatan kencang Zhafri Yahya menuju tepat ke arah penjaga gol Kelantan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Tuan rumah membuat dua pertukaran memasukkan Mohd Syazwan Mahamad Azahari dan Mohd Danial Ashraf Abdullah pada babak kedua namun masih gagal menghasilkan gol setelah Mohd Raihan Mhd Huzaizi sekadar menanduk angin pada minit ke-54.

Malang menimpa Kelantan seminit kemudian apabila terpaksa bermain dengan 10 orang setelah Tuan Mohd Faim dikeluarkan akibat kecederaan ketika mereka sudah pun membuat pertukaran terakhir memasukkan Mohd Syafiq Shafie bagi menggantikan Mohd Ramzul Zahini Adenan, pada minit ke-52.

Biarpun beraksi dengan kekurangan pemain, tuan rumah tetap melancarkan serangan namun gerakan solo Mohd Danial Ashraf gagal menghasilkan jaringan pada minit ke-60 disusuli tandukan Mohd Raihan turut gagal menepati sasaran, tiga minit kemudian.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur yang sesekali dilihat mengatur serangan sepanjang babak kedua memperoleh gol kemenangan apabila pemainnya, Muhamad Hafiz Mohd Johar yang tidak dikawal di dalam kotak penalti tenang merembat masuk menewaskan penjaga gol kedua tuan rumah, Mohd Syazwan, pada minit ke-75.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");