Perak Hari Ini

Kementerian Boleh Ambil Tindakan -DS Tajuddin

CHUI CHAK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mempunyai lesen pembelian padi sekiranya tidak mengikut kadar pemotongan padi yang telah ditetapkan.

Ia berikutan terdapat aduan yang diterima daripada petani di kawasan Sungai Manik dan Chui Chak di sini yang mendakwa bahawa pihak pembeli telah mengenakan kadar potongan padi yang tinggi sehingga mencecah 30 peratus berbanding 18 hingga 20 peratus sebelum ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehingga kini antara pihak yang diberikan pelesenan padi adalah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dan juga pengilang swasta.

“Kementerian yang keluarkan lesen kepada pembeli padi dan kalau sekiranya tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pihak kementerian ada hak untuk ambil tindakan termasuklah menarik lesen, bagi amaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama kira-kira 100 petani di kawasan Sungai Manik dan Chui Chak hari ini.

Tambahnya lagi, beliau mengesyorkan kepada para petani untuk berada di kilang atau tempat penjualan padi bagi menyatakan persetujuan atau tidak dengan pemotongan yang dilakukan terhadap hasil tuaian mereka.

“Semasa jualan mesti ada tiga pihak iaitu penjual, pembeli (Bernas) dan juga pihak PPK.

“Apa yang berlaku kini, dia (petani) biarkan pemandu lori hantar ke kilang dan percaya bulat-bulat, tetapi masalahnya bila sudah timbang dan berlaku pemotongan itu, mereka tidak puas hati,” katanya.

Tajuddin turut mengingatkan kepada pihak pembeli untuk lebih bersikap profesional ketika melakukan proses penggredan.

“Kita akan pastikan tidak ada manipulasi, ia mesti telus dan ikut kualiti yang betul-betul yang sebenarnya serta adil kepada penjual.

“Pihak Kawal Selia Padi juga kena turun padang ke kilang-kilang untuk pastikan mereka lakukan penggredan secara profesional supaya tidak ada penipuan yang menyebabkan petani rugi,”katanya lagi.

Ujarnya, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan petani atau penjual menanggung kerugian dan tidak mencapai pendapatan yang tinggi meskipun kadar penjualan padi telah dinaikkan kepada RM1,200.

“Bila dipotong banyak, maka jumlah bersih jadi kurang..walau harga RM1,200 kalau dipotong dengan begitu tinggi ia tidak membawa kesan kepada pendapatan. Oleh sebab itu kita perlu pastikan potongan ini tak dimanipulasikan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan Bernas supaya bersedia dengan kapasiti pengumpulan yang cukup untuk menampung penjualan padi petani yang dilakukan serentak dalam satu-satu masa.

“Kita tidak mahu bila jual padi serentak semasa tiba musimnya dan tempat pengumpulan tidak mencukupi, petani terpaksa berbaris panjang dan menunggu… Kita tak mahu jadi macam itu.

“Kita mahu Bernas mungkin mencari ruang-ruang tempat pengumpulan menyimpan stok di luar daripada kawasan mereka supaya dapat memindahkan stok sedia ada bagi membolehkan stok baru masuk,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");