IPOH: Usaha untuk membangunkan tanah terbiar milik kerajaan negeri sentiasa dipergiatkan melalui agensi yang telah dipertanggungjawabkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha itu termasuklah melakukan kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan pembangunan tanah tersebut menepati pelan perancangan yang dilakukan oleh agensi yang terbabit.
“Pada masa sama, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti keperluan serta mempunyai permintaan pasaran agar pelaksanaannya adalah berdaya maju dan memberi manfaat terhadap peningkatan pendapatan serta sosial ekonomi terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Ujarnya, kerajaan negeri juga giat menjalankan aktiviti ekonomi yang bersesuaian dengan jenis tanah yang diberikan termasuklah peladangan, penyewaan tanah pertanian dan perlombongan untuk dimajukan.
“Ini termasuk juga menjalankan kerjasama dengan agensi lain melalui Perak Investment Management Center (InvestPerak), MIDA dan NCIA yang bertindak sebagai matchmaker (suaipadan).
“Selain itu, dalam konteks ini, kita juga menjalankan pembangunan perumahan secara usahasama dengan syarikat pemaju bagi memfokuskan penyediaan skim perumahan mampu milik dan skim perumahan kakitangan awam,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga akan menyegerakan permohonan kelulusan pajakan sewaan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sama ada permohonan daripada individu atau syarikat.
Dalam pada itu, beliau berkata, agensi berkenaan juga akan mengambil langkah tertentu untuk memastikan tanah hak milik mereka tidak diteroka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Agensi yang terlibat akan memasang pagar di sekitar kawasan tersebut dan menaikkan papan tanda untuk memastikan tanah hak milik tidak diteroka serta membuat pengawasan berterusan .
“Unit polis bantuan sebagai unit penguatkuasaan secara bersama teknikal tanah juga telah ditubuhkan bagi melakukan rondaan secara berkala bagi mengawal pencerobohan yang dilakukan,”katanya.
Selain itu, katanya, tindakan mahkamah turut akan diambil keatas mereka yang menceroboh tanah berkenaan.