IPOH:Kerajaan negeri sentiasa memandang serius bagi menangani gejala sosial yang sehingga kini masih belum ada Pelan tindakan Strategik yang spesifik untuk menanganinya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembanguna Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil (BN-Ayer Kuning), Datuk Samsudin Abu Hassan isu gejala sosial telah dimuatkan dalam beberapa pelan tindakan strategik yang dibangunkan kerajaan negeri sehingga kini.
“Contohnya dalam Pelan Tindakan Strategik (PTS) PEMADAM Perak 2015-2020 terdapat enam teras penting iaitu pelajar bebas dadah, pekerja bebas dadah, keluarga bebas dadah, komuniti bebas dadah, pemutihan kawasan hotspot dan pembanterasan jenayah dadah di peringkat Mukim,” katanya menjawab soalan lisan diajukan oleh ADUN Radzi Zainon (PAS-Sungai Rapat) pada persidangan dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
PTS juga katanya telah mengemukakan strategi dan inisiatif untuk mencegah belia dari terjerumus ke lembah najis dadah bermula di bangku sekolah.
“Pencerahan dan taklimat diberikan kepada pelajar dan guru sekolah termasuk ibu bapa dan guru kaunseling mengenai bahaya dadah,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan badan Bukan Kerajaan (NGO) secara NBOS bagi membantu masyarakat supaya menjadi perantara kepada usaha murni mencegah gejala sosial.
“Kerajaan negeri telah bekerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Belia Dan Sukan serta agensi lain berikhtiar menangani masalah gejala sosial dan ia bukan sesuatu yang baharu dijalankan,” katanya.