KOTA TINGGI: Seorang anggota polis yang juga merupakan Ketua Balai Polis Bukit Besar disini cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di Felda Pasir Raja kira-kira jam 7 malam semalam.
Mangsa, Sarjan Mejar Yusuf Ahmad, 57 mengalami cedera parah selepas dilibas dengan sabit di bahagian lengan, tangan serta turut ditikam dirusuk kiri oleh suspek berusia 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, ketika kejadian mangsa bersama lima anggota dan dua kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Besar telah pergi ke sebuah rumah di kampung tersebut selepas menerima aduan terdapat seorang pesakit mental mengamuk dan bertindak agresif.
Menurutnya, suspek seorang lelaki, tidak bekerja merupakan pesakit mental Hospital Tampoi, Johor dipercayai tidak makan ubat penenang mengikut jadual.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah mengetuk pintu rumah sambil memujuk lelaki tersebut. Tiba-tiba mangsa dan anggota telah diserang dimana suspek telah melibas senjata tajam berupa sabit ke arah mangsa.
“Ekoran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kulai dan seterusnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rahmat, kira-kira jam 4.15 pagi tadi lima orang pegawai dan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama Pasukan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah membuat tangkapan di rumah suspek.
Katanya, suspek yang berada dalam rumah masih dalam keadaan agresif serta bersenjatakan sabit dan usaha memujuk dilakukan untuk meminta suspek menyerah diri gagal.
“Setelah masuk melalui pintu belakang rumah tersebut dengan bersenjatakan ‘ teser gun’ dan berlindung dengan ‘shield’ ketika tiba di ruang makan tiba-tiba suspek terus meluru ke arah pasukan serbuan D9 dengan bersenjatakan sebilah sabit.
“Tembakan ‘teser gun’ terus dilepaskan ke arah suspek namun tidak mendatangkan kesan dan suspek terus meluru ke arah pasukan serbuan. Tiga das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah mangsa dan suspek terus rebah ke lantai.
“Senjata jenis sabit yang digunakan oleh suspek adalah senjata yang telah digunakan untuk mencederakan mangsa. Suspek mengalami kecederaan di dada dan terus dibawa ke Hospital Kulai sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,”katanya lagi.
Jelasnya, Unit Forensik juga berada di lokasi untuk bantuan siasatan di tempat kejadian manakala mayat suspek akan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat hari ini.
-Sinar Harian