Membawang Hari Ini

Khabar jadi Datin cuma gurauan nakal – Izreen

KUALA LUMPUR: Pelakon dan ahli perniagaan, Izreen Azminda menganggap isu dirinya bakal bergelar Datin seperti dihebohkan baru-baru ini sebagai gurauan nakal segelintir pihak.

Katanya, dia hanya mampu tergelak sebaik kisah itu digembar-gemburkan apatah lagi ramai bertanyakan kesahihan berita kononnya ia berpunca daripada hubungan rapat dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Akui ibu tunggal kepada Muhammad Adrian Umar, 3, itu lagi, setakat ini dirinya belum menemui lelaki yang boleh dijadikan teman suka dua selepas melalui hidup sendirian sejak lebih dua tahun.

“Sejujurnya gosip itu membuatkan saya tergelak sakan. Cerita hendak jadi bakal datin atau bakal datuk pun tiada. Datuk kandung saya sendiri sudah lama meninggal dunia.

“Cuma saya tidak tahu dari mana cerita sebegini. Ia mungkin disebabkan orang salah anggap menyangkakan saya ada apa-apa dengan rakan kongsi perniagaan. Lucunya rakan perniagaan saya wanita, bukan lelaki pun dan tak ada pangkat Datuk atau Datin langsung,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, Izreen ketika ini memperlahankan rentak lakonan demi memberi tumpuan kepada perniagaan minyak wangi yang menggunakan namanya sendiri.

“Memang saya enggan mengambil tawaran berlakon buat saat ini. Saya mahu berikan tumpuan dulu terhadap bisnes yang baharu bermula. Tetapi itu tidak bererti saya mahu berhenti berlakon.

“Saya hanya akan mula aktif memenuhi undangan berlakon bermula tahun hadapan. Selain minyak wangi, saya bercadang mengeluarkan buku antologi puisi pendek pada tahun depan,” katanya.

Mengenai bisnesnya, bintang Ahli Mesyuarat Tingkap itu tidak berasa ketinggalan apabila baharu membabitkan diri dalam bidang ini berbanding rakan artis lain seperti teman rapatnya, Rita Rudaini dan Sherry Ibrahim.

Dalam keadaan ekonomi semasa, wanita berhati waja itu yakin produk rangkaian minyak wangi yang dikeluarkan syarikatnya berbeza dengan kebanyakan pewangi milik artis sedia ada.

Menariknya, produk di bawah jenama Izreen Azminda itu menjadi barangan pertama artis tempatan yang dijual di Global Halal Exchange iaitu sebuah syarikat online untuk industri halal.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");