Jika tahun lalu, Elizabeth Tan bersorak gembira selepas namanya diumumkan finalis Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) menerusi lagu Knock Knock, tahun ini, penyanyi ini sekali lagu bakal berentap di pentas berprestij itu dengan lagu Setia ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong.
“Setia adalah lagu duet saya bersama Faizal Tahir. Apabila diumumkan lagu itu berjaya ke AJL31, tentunya saya sangat gembira namun tidak menyangka tersenarai sebagai finalis.
“Lagipun, ketika membuat persembahan pada Separuh Akhir Pertama Muzik Muzik 31, saya rasa ada beberapa kekurangan dalam nyanyian saya. Berbanding Knock Knock, genre untuk lagu Setia lebih berat dan serius.
“Kalau dilihat daripada senarai lagu yang bertanding, persaingannya sangat sengit kerana semua lagu ada kekuatan tersendiri,” katanya.
Kali kedua layak ke AJL memberikan lebih semangat kepada Elizabeth untuk terus mengorak langkah sebagai penyanyi dalam industri muzik yang dimonopoli penyanyi Melayu.
“Terima kasih kepada barisan juri yang memilih lagu Setia sehingga layak ke AJL31 dan saya serta Faizal akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.
Bercerita mengenai aktiviti terbarunya, Elizabeth kini sibuk mempromosikan single baru ciptaannya bersama Audi Mok dan Shazee Ishak, Tabah yang turut menjadi bualan ramai peminat.
“Ramai yang memberikan maklum balas positif untuk lagu Tabah. Rata-rata mengatakan Tabah berbeza berbanding lagu lain yang sedia ada dalam pasaran dan video muziknya juga sudah mencecah lebih dua juta tontonan di YouTube,” katanya.
Terbaru, Elizabeth juga bakal muncul dalam satu filem baru sebagai watak cameo.
“Ia masih dalam perbincangan dan kalau semuanya berjalan lancar, saya akan turut terlibat dalam filem itu membawa watak cameo,” katanya.
Sebelum ini, dia pernah muncul sebagai pelakon menerusi filem Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium arahan Mamat Khalid dan pernah ditayangkan tahun lalu.-harian metro