Sukan Hari Ini

Kian garang

Abu Dhabi: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton (gambar) menjadikan bintang tenis Amerika Syarikat Serena Williams sebagai sumber inspirasi bagi dirinya yang sedang bersedia untuk berentap dengan rakan sepasukannya di Mercedes Nico Rosberg minggu ini.

Serena serta kakaknya Venus, turut hadir menyaksikan perlumbaan Formula Satu sebelum ini dan Hamilton berkata, dia merasa seolah-olah dihargai apabila berpeluang menghabiskan masa dengan juara grand slam perseorangan wanita sebanyak 22 kali itu.

“Saya berada bersama-sama Serena di LA minggu lalu, dia datang menyaksikan perlumbaan di Mexico dan bagi saya, adalah sesuatu yang sangat seronok dapat berbual dengan ahli sukan sehebat itu,” kata Hamilton.

“Kami berbual pelbagai perkara dan kami sama-sama menikmati perbualan itu. Kami ketawa dan membuat lawak. Kami berjaya lupakan seketika soal sukan,” kata pelumba berusia 31 tahun itu.

“Saya sangat cemburu dengan kejayaannya dan sudah tentu dia menjadi sumber inspirasi saya. Sebagai manusia biasa, sudah pasti saya kagum dengannya dan saya mahu belajar daripadanya. Dia kerap memberikan kata-kata semangat buat saya.”

Hamilton yang berasal dari keluarga miskin dan tidak mempunyai latar belakang di dunia permotoran, mendapat sokongan dan galakan bapanya. Justeru, dia menganggap dirinya banyak persamaan dengan bintang tenis itu.

Hamilton yang mempunyai darah Caribbean, enggan melayan sebarang halangan termasuk soal perkauman, berpeluang muncul pemandu Britain pertama yang menang empat gelaran Formula Satu secara berturut-turut.

Dia berkata, Serena sudah semakin minat dengan kereta lumba dan banyak bertanya kepadanya mengenai sukan itu sejak melihatnya muncul juara di Mexico City bulan lalu.

Kakak Serena, Venus, 36, turut dilihat menyaksikan Grand Prix AS di Austin, Texas, Oktober lalu dan perlumbaan itu turut dimenangi Hamilton.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");