Perak Hari Ini

KPDNKK Perak Rampas Perisian Cetak Rompak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak telah berjaya merampas 15 salinan perisian cetak rompak (salinan langgaran) yang dianggarkan bernilai RM219,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ipoh, baru-baru ini.

Ketua Seksyen (Bekalan, Harga dan Anti Pencatutan) KPDNKK Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, dalam serbuan yang dijalankan masing-masing di Bandar Baru Medan Ipoh dan Taman Canning itu, pihaknya juga telah merampas enam unit komputer riba dan dua unit desktop.

peraktoday2

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia lingkungan awal 40-an yang masing-masing merupakan pengurus bagi syarikat-syarikat tersebut untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Pada 22 november 2016, kita telah menyerbu satu syarikat di Bandar Baru Medan Ipoh dan telah menyita satu unit komputer riba dan dua unit desktop yang mana didapati di dalam komputer tersebut terdapat empat perisian yang disyaki salinan langgaran yang dianggarkan bernilai RM44,000.

“Manakala pada 23 November 2016, satu serbuan lagi ke sebuah syarikat di Taman Canning telah dibuat dan kita telah menyita lima unit komputer riba dimana disyaki memiliki 11 salinan langgaran yang bernilai RM175,000 dan menjadikan nilai keseluruhan bagi kedua-dua serbuan adalah RM219,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, serbuan dan tindakan yang dilaksanakan oleh KPDNKK Perak adalah berdasarkan kerjasama dan pengaduan daripada pihak Gabungan Perisian Perniagaan (BSA) dimana hasil risikan mendapati syarikat berkenaan telah menggunakan perisian salinan langgaran yang mempunyai hak ciptanya yang tersendiri.

Jelasnya, kedua-dua syarikat berkenaan disyaki memiliki salinan langgaran selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik atau menggunakan perisian cetak rompak dalam menjalankan perniagaan.

“Untuk kesalahan pertama yang dilakukan oleh syarikat tersebut, denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langganan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Jika didapati syarikat ini melakukan kesalahan kedua, denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

peraktoday1

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 kes berkaitan Akta Hak Cipta telah direkodkan di seluruh negeri Perak sepanjang tahun 2016.

“Nilai rampasan bagi kesemua kes berkenaan adalah sebanyak RM258,000 dan kes-kes ini akan disiasat dan mereka ini akan kita dakwa di mahkamah jika didapati bersalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kesemua peniaga khususnya di negeri Perak untuk menggunakan perisian yang tulen dalam melaksanakan perniagaan mereka.

“KPDNKK Perak khususnya amat memandang berat kepada para peniaga terutama yang menggunakan perisian salinan langgaran.

“Saya mohon mereka ini menggunakan perisian yang tulen dan jangan guna salinan langgaran kerana jika kami dapati ada yang menggunakan salinan langgaran tersebut, kita akan sentiasa menangani perkara ini daripada berleluasa,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");