Petaling Jaya: “Kritiklah saya selepas Piala AFF,” kata pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee yang terus ‘diserang’ dengan pelbagai kritikan seminggu sebelum kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar bermula.
Kemenangan tipis 4-3 skuad kebangsaan ke atas pasukan bawah 22 tahun negara pada aksi persahabatan kelmarin mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk penyokong tempatan.
Mereka mempertikaikan kemampuan skuad yang dibentuk Kim Swee itu untuk merebut kejuaraan Piala AFF kali ini.
Namun pengendali berusia 45 tahun itu berkata, beliau sudah lali dengan kritikan namun adalah tidak adil untuk pihak yang mengkritik berterusan menghentam pasukan sedangkan perjuangan mereka di Piala AFF belum bermula.
“Saya sudah dikritik sejak awal tahun lagi (sejak dilantik jurulatih kebangsaan). Kritiklah saya selepas Piala AFF. Pemain tak perlu fikir pasal kritikan kerana apa yang penting kita ambil kritikan sebagai motivasi.
“Kritiklah lagi, ia akan membuatkan saya lebih bermotivasi. Bagi saya ia bukan masalah saya dan pemain. Pemain juga ada matlamat untuk melihat Malaysia mendapat keputusan lebih baik di Piala AFF,” katanya pada sidang media praperlawanan aksi persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, hari ini.
Bagaimanapun Harimau Malaysia boleh menutup kritikan serta mendapat tonik terbaik untuk mengharungi saingan Kumpulan B Piala AFF andai berjaya mengalahkan Papua New Guinea hari ini.
Ia perlawanan kedua Malaysia di ranking ke-164 dunia dengan Papua New Guinea (159) apabila mereka tumpas 0-2 dalam aksi siri Jelajah Oceania Jun lalu.
“Sudah tentu saya mahukan kemenangan pada perlawanan terakhir sebelum pergi ke Yangon (Rabu ini). Bagaimanapun saya mahu pemain mempamerkan permainan lebih tersusun dari segi serangan dan bertahan sebelum kita menentang Kemboja (perlawanan pertama Piala AFF).
“Papua bukan pasukan seperti dulu, mereka semakin meningkat tapi saya tidak mahu terlalu memikirkan pasal apa yang mereka akan lakukan kerana fokus saya lebih kepada permainan kita,” kata Kim Swee yang dijangka bakal membariskan kesebelasan terbaik bagi aksi hari ini.
Harimau Malaysia, naib juara Piala AFF 2014, dalam persiapan terakhir bagi mengharungi saingan Kumpulan B membabitkan Kemboja, Vietnam dan Myanmar.-harian metro