MELAKA: Kelibat legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh bakal disaksikan pada Kejohanan Bola sepak Veteran 7 Sebelah Piala Datuk Soh Chin Aun di Stadium Hang Tuah, Bandaraya Melaka esok.
Penganjuran kali kedua itu turut disertai skuad veteran Korea FC selain pasukan dari Hong Kong, Brunei, Indonesia dan Singapura yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 untuk juara manakala RM2,000, RM 1,000 dan RM500 bagi kedudukan kedua hingga keempat.
Lebih menarik kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Lagenda FC berkenaan bakal menghimpunkan ramai bekas pemain negara termasuk Ramli Junit, G Torairaju dan legenda Korea, Kim Jae Han.
Presiden Legenda FC, Datuk Gary Choo berkata, kejohanan bakal menghimpunkan bekas pemain yang banyak berjasa kepada pembangunan bola sepak di negara ini.
Katanya, ia juga pentas mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan antara semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama.
“Lebih menarik kita dapat saksikan bintang – bintang yang pernah membawa pasukan negara digeruni pada era 70-an dan 80-an terutama, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh,” katanya.
Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Farrer Park Dynamos FC (Singapura), Hua Lian (Johor), Perak Chinese Recreation Club, HTC SC, Arena FM Melaka, South China Old Timer (Hongkong), Air Asia FC, VFA Brunei Master, Trisakti FC Indonesia ,Royal Selangor Club, Iconic Sports Club dan Legenda FC.
-BH Online