Sukan Hari Ini

Lincah atas air

Biarpun baru berusia 11 tahun, kelincahan Aiden Yoong Hanifah setiap kali terbabit dalam sukan luncur air pasti menarik perhatian banyak pihak.

Segala-galanya bermula ketika Aiden memenangi pingat gangsa dalam acara lelaki tricks di temasya Sukan SEA Singapura tahun lalu dengan jaguh cilik itu berjaya mengenepikan pencabar lain yang lebih berusia daripadanya.

Seorang yang cukup merendah diri namun memiliki keyakinan dan keazaman kuat, adik kepada Aaliyah Yoong Hanifah itu berharap pencapaian yang dikecapinya tidak hanya terhenti di pertengahan jalan, sebaliknya terus konsisten dan mahu bergelar juara dunia.

“Sekalipun saya masih dianggap budak kerana baharu berusia 11 tahun, tapi itu bukan penghalang untuk mencipta nama dalam sukan ini.

“Harapan saya ingin menjadi juara peringkat Asia dulu dan selepas itu akan cuba berada di kedudukan 20 terbaik dunia. Saya akan memerah keringat untuk terus memburu mahkota kejuaraan dalam setiap kejohanan dihadapi,” katanya kepada Arena Metro.

Mengimbau kembali detik awal pembabitannya dalam sukan air, Aiden menyifatkan pembabitan di usia muda mampu memberi kelebihan buat mana-mana atlet yang menyertai sukan itu.

“Namun, masih banyak kemahiran serta skil yang perlu saya pelajari untuk menjadi lebih baik. Setiap kali berada di papan luncur, saya akan cuba memperbaiki segala kesilapan pernah dilakukan sebelum ini.

“Tahun ini saja, banyak kejohanan yang saya sertai dengan ada yang menang selain mengecewakan. Saya meminati sukan ini kerana terikut-ikut dengan kakak (Aaliyah) sejak berusia lima tahun lagi.

“Daripada sekadar tengok kakak berlatih, akhirnya tim
bul minat dan saya semakin selesa beraksi di papan luncur dengan ayah dan ibu banyak memberi sokongan dan dorongan,” katanya.

Bercerita mengenai dunia akademik pula, pelajar darjah lima Sekolah Antarabangsa Nexus Putrajaya itu berharap hobinya itu tidak menjejaskan persiapan dilakukan bagi menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

Menurutnya, aktiviti sukan bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran.

Selain pandai membahagikan masa antara dua bidang itu, Aiden juga cukup bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang sering mengingatkannya mengenai status sebagai seorang pelajar.

“Latihan biasanya dijalankan pada sebelah petang selepas pulang dari sekolah. Jadi tiada masalah untuk saya mengulang kaji pelajaran.

“Andai ada perkara yang saya ketinggalan atau tidak tahu, paling mustahak saya ada mendapat nasihat guru dan bantuan rakan-rakan.

“Ibu bapa pula sering memantau perkembangan saya dalam pelajaran. Andai keputusan peperiksaan kurang memuaskan, mereka akan mengehadkan aktiviti saya dan jika perlu mengambil kelas tambahan, baru saya kembali bergiat dalam latihan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");