Membawang Hari Ini

‘Macam kerja gila!’

Bagai kaca terhempas ke batu, itulah gambaran perasaan penonton tatkala melihat gabungan Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter menerusi konsert High Note 2016 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Jika ditafsir secara komersial, gabungan itu sudah cukup gah untuk menggamit kehadiran peminat dan penggemar muzik tempatan untuk menonton tiga penyanyi yang memiliki nada suara tinggi itu beraksi di panggung berprestij selain mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan mereka di pentas Anugerah Bintang Popular BH 2011.

Penangan tiga figura itu terlihat dengan kerumunan peminat yang sudah memenuhi ruang legar IB sejak jam 7 malam. Bagaimanapun, matlamat mereka ingin melihat tiga nama besar itu berkongsi rasa dalam seleksi lagu terhebat sepanjang berkecimpung dalam industri seni seakan-akan berkecai.

Mana tidaknya, keterujaan untuk menyaksikan tiga gabungan penyanyi bersuara lantang itu musnah apabila konsert itu tidak berlangsung seperti dirancang dan ‘huru-hara’.

Malah, antara insiden yang jelas menunjukkan konsert itu berlangsung tanpa persediaan rapi apabila penyanyi masih mencari ‘key’ suara yang sesuai di pentas, pemuzik dilihat teragak-agak dan menanti isyarat untuk mengiringi nyanyian artis serta lagu yang dipersembahkan terutama Ziana tidak seperti yang dijanjikan.

Bayangkan penyanyi yang popular menerusi lagu Madah Berhelah itu hanya menyanyikan lima lagu berbanding 10 lagu termasuk Berpisah Jua yang disampaikan dalam versi Acapella.

Lebih menyedihkan, konsert yang dikenakan bayaran RM508 bagi kategori Platinum itu dikatakan sekadar latihan dan penonton yang hadir pada malam Jumaat boleh menonton semula konsert itu semalam.

Konsert yang dianggap bakal meninggalkan impak bagi 2016 dan memberi makna sebelum pentas bertaraf antarabangsa itu ditutup tahun depan untuk proses menaik taraf boleh dikatakan begitu memalukan apabila tiada magis yang berlaku selain banyak kelemahan yang jelas kelihatan sewaktu konsert berlangsung.

Jujurnya kasihan melihat kesanggupan penonton yang sanggup membayar tiket bernilai ratusan ringgit dan datang dari jauh semata-mata ingin menyaksikan tiga figura itu dalam satu konsert yang akhirnya seperti tidak berbaloi .

Malah, hasrat penonton untuk melihat mereka bergabung menyanyikan satu lagu bersama langsung tiada pada malam konsert pertama. Lebih menyakitkan hati, penyanyi tidak berkesempatan menyanyikan lagu popular mereka memandangkan masa latihan yang diberikan begitu suntuk iaitu dua jam sebelum konsert bermula.

Bagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada tiga penyanyi ini apabila mereka sanggup mengambil cabaran itu demi maruah dan kredibiliti sebagai penyanyi.

Biarpun konsert itu berlangsung ‘huru-hara’ dalam sejarah di IB, tiga penyanyi ini tetap memberikan persembahan terbaik dan disampaikan dengan penuh rasa ikhlas serta tanggungjawab.

Setiap penyanyi memberikan sepenuh aura yang dimiliki bagi menutup segala kelemahan yang berlaku dan kelekaan pihak penganjur dalam menguruskan kelancaran konsert itu. Pepatah ada menyebut, guru terbaik dalam kehidupan seorang manusia adalah pengalaman yang dikutip seiring bertambahan usia.

Definisi itu kuat mengambarkan betapa pengalaman yang dimiliki tiga penyanyi ini berjaya menyelamatkan konsert itu daripada dihanyut arus deras.

Berkesempatan bertemu dengan dua penghibur itu usai konsert, Ziana menyifatkan konsert anjuran DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro itu sebagai paling teruk yang pernah dijayakan sepanjang hampir tiga dekad bergelumang dalam industri seni tanah air.

Kata Ziana, tiada persiapan rapi termasuk latihan hanya dilakukan dua jam sebelum konsert bermula dilihat menjadi punca keadaan kelam kabut.

“Apa yang anda semua saksikan adalah latihan saja dan bukannya konsert sebenar. Terus terang, kami semua langsung tidak berlatih dengan muzik sehinggalah hari ini (Jumaat). Kami hanya berlatih petang tadi, itu pun dalam masa yang cukup singkat iaitu lebih kurang dua jam.

“Kami dan pemuzik seakan-akan melakukan kerja gila. Kalau ikutkan hati memang nak tarik diri, tetapi saya kuatkan semangat dan teruskan juga walaupun keputusannya menjerut leher kami. Konsert ini adalah paling teruk sepanjang saya menjadi penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, Jaclyn berkata, konsert itu sangat memberi tekanan kepadanya kerana latihan hanya dibuat beberapa jam sebelum konsert.

“Bayangkan giliran saya berlatih dengan pengarah muzik pada jam 7 malam, sedangkan konsert akan bermula pada jam 9 malam. Terus terang, saya tidak pernah buat kerja begini sepanjang bergelar penyanyi.

“Ia sangat memberi tekanan. Kalau ikut hati saya memang nak tarik diri, tetapi disebabkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya tetap tunaikan ,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Mohd Hidayat Mihd Shah berkata, pihaknya mengakui kesilapan mereka sehingga menyebabkan konsert itu berlangsung dalam keadaan tidak sempurna.

Beliau yang juga bertindak sebagai penerbit konsert itu berkata, pihaknya dan pasukan produksi akan mengadakan mesyuarat supaya masalah terbabit dapat diselesaikan.

“Kami ingin memohon maaf atas apa yang berlaku. Jujurnya ini adalah pengalaman pertama kami mengadakan konsert berskala besar. Dalam perkara ini kami tidak menyalahkan penyanyi. Kekurangan yang berlaku adalah daripada pihak kami kerana berlaku masalah teknikal sehingga konsert terpaksa dilewatkan dan perjalanan konsert terpaksa diubah pada saat akhir,” katanya.

Mohd Hidayat berkata, pihaknya mengalami beberapa masalah teknikal.

“Kami juga mempunyai masa yang agak suntuk untuk mengadakan raptai penuh konsert. Kami ada terfikir untuk menangguhkannya, tetapi bimbang ia akan membabitkan kos yang lebih tinggi selain turut membabitkan banyak pihak serta tiket yang sudah dijual,” katanya yang berharap konsert pada Sabtu dan semalam dapat menebuskan kekecewaan penonton yang hadir.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");