Sukan Hari Ini

Masuk percuma hargai penyokong

Kuala Lumpur: Sokongan penyokong amat ditagih skuad Harimau Malaysia yang akan menguji kekuatan dengan menentang Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa sebelum berangkat ke Yangon, Myanmar bagi misi memburu kejuaraan Piala AFF.

Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap ramai penyokong dapat hadir menyaksikan perlawanan itu apabila mereka membuat keputusan untuk membenarkan penonton masuk percuma ke Stadium Shah Alam pada 14 November ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan itu diambil sebagai menghargai sokongan penyokong yang hadir ke stadium biarpun terpaksa membayar tiket ketika menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan sepanjang 2016.

Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Tapi sebagai penghargaan kepada penyokong dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah aksi terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi pada Piala Suzuki AFF 2016, FAM bersetuju untuk penyokong tidak dikenakan bayaran bagi perlawanan Isnin ini,” katanya.

Tindakan itu dilihat sebagai langkah baik untuk menarik minat penyokong kerana perlawanan berkenaan diadakan pada jam 3 petang apatah lagi jumlah penyokong menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan semakin merosot dan ini dapat dilihat ketika menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam bulan lalu.

Bagi jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, beliau mengharapkan sorakan penyokong kembali bergema buat bekalan semangat anak buahnya sebelum memulakan kempen Piala AFF pada 20 November ini.

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada pemain bagi memperagakan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Lagipun ini pentas terakhir sebelum senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2016. Jadi saya berharap dengan kemasukan percuma ini, lebih ramai penyokong akan dapat hadir ke Stadium Shah Alam, Isnin ini bagi memberikan sokongan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");