Sukan Hari Ini

Mesti ada variasi

Shah Alam: Masih belum terlambat buat Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyerlah di pentas antarabangsa meskipun ketika ini usianya sudah melewati 25 tahun.

Namun bagi bekas pemain perseorangan negara Datuk Misbun Sidek, Iskandar perlu mendapat latihan yang betul untuk menjadikannya sebagai seorang pemain yang mempunyai variasi permainan.

“Pada usia 25 tahun dia sudah sampai ke tahap sekarang dengan mara ke suku akhir dan separuh akhir kejohanan utama.

“Bakatnya sudah nampak tapi sekarang ini bagaimana hendak menjadikannya lebih baik?

“Sebab sekiranya dia hanya mempunyai satu corak permainan saja untuk menewaskan lawannya, memang tidak akan berhasil.

“Apa yang saya maksudkan jika dia bertemu Chen Long, maka persiapan perlu dilakukan bagaimana untuk menewaskan Chen Long.

“Begitu juga apabila bertemu Lin Dan. Bermaksud, jurulatihnya perlu membentuk Iskandar bermain dengan cara berbeza apabila bertemu lawan berbeza,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Kebangsaan Kem Bakat Badminton semalam.

Jelas Misbun lagi, Iskandar sepatutnya mendapat pendedahan lebih awal untuk beraksi di pentas antarabangsa.

“Sebab sekarang barulah dia dapat memasuki era peralihan daripada pemain remaja kepada senior,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali yang hadir pada saingan semalam memberi jaminan untuk terus melaksanakan program pencarian bakat badminton pada masa akan datang.

Jelasnya, meskipun di pihak kementerian berdepan kekangan kewangan, tetapi beliau percaya program yang lebih selektif mampu mencungkil bakat baharu berkualiti.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");