Membawang Hari Ini

Nasib Ainur Mardhiyah

DIHINA dan dicaci semua orang sekeliling hanya kerana status kelahirannya. Hidup tanpa mengetahui siapa bapanya dan ditinggalkan oleh ibu kandung sendiri lebih menyedihkan lagi hidup seorang gadis bernama Ainur Mardhiyah yang juga dikenali sebagai Dhiya.

Begitulah antara perjalanan drama berjudul Ainur Mardhiyah terbitan Creative Skill Solution, arahan Zamri Zakaria yang membariskan pelakon-pelakon seperti Sura Sojangi, Zahiril Adzim, Niezam Zaidi, Khaty Azean, Delimawati, Zaryn Min, Rahim Kidol, dan Ramli Saleh.

Drama 20 episod ini akan bersiaran di TV9, slot Azalea sejak 22 November lalu setiap hari Selasa hingga Ahad jam 8.30 malam.

Pengarah drama ini berkata, penggambaran Ainur Mardhiyah berjalan selama 60 hari melibatkan kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi saya plot Ainur Mardhiyah ini sendiri cukup kuat. Saya berkata begitu bukan kerana saya yang mengarah, tetapi itulah hakikat.

“Drama ini sarat dengan konflik hidup, bagaimana seorang anak yang tidak tahu bapa, ditinggalkan pula ibu dan di bela oleh datuk dan neneknya.

“Nasibnya terus malang apabila datuk dan neneknya meninggal dunia dan dia menjadi mangsa cemuhan orang kampung,” ujarnya kepada Media Hiburan.

Tambah Zamri, gabungan pelakon lama dan baharu banyak membantunya mendapatkan sebuah lakonan yang berkesan dan turut memudahkan kerjanya.

“Mereka tahu apa yang saya mahu dan tidak susah untuk memberi penerangan apa yang saya mahukan.

“Setiap pelakon tampil dengan lakonan mantap dan saling menyokong lakonan antara satu sama lain,” jelasnya.

Apa yang diharapkan oleh pengarah ini, Ainur Mardhiyah akan mendapat sambutan dan tempat di hati penonton.

Bukan itu sahaja, drama ini juga akan dapat memberi pengajaran dan di terima oleh penonton.

Selepas kehilangan datuk dan neneknya, Dhiya nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajarannya di menara gading. Dhiya berpindah tanpa memberitahu sesiapa di kampung termasuk sahabat baiknya, Saiful dan Kiflie.

Untuk meneruskan kehidupan, Dhiya terpaksa bekerja separuh masa. Hidupnya sangat sukar dan dia terpaksa menjadi orang yang tabah untuk mengharungi kehidupannya seorang di bandar.

Pada suatu hari, Dhiya dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh Aina. Aina membawa Dhiya ke klinik untuk dirawat. Mereka berbual dan menjadi semakin rapat apabila mengetahui tempat mereka belajar adalah sama.

Aina mengetahui tentang kesusahan Dhiya dan menawarkannya untuk bekerja di butik pakaian milik ibunya. Dhiya sangat bersyukur kerana boleh mencari rezeki untuk meneruskan kehidupannya.

Sekali lagi, dugaan menimpa Dhiya. Dia disabotaj oleh Kak Lin, pekerja di butik ibu Aina. Pelbagai tohmahan dan cabaran sepanjang dia bekerja di situ.

Dhiya terkejut apabila pertama kali berjumpa dengan ibu Aina, Ainul Mardhihah (Mar) yang sebenarnya merupakan ibu kandungnya. Mar termakan hasutan pekerjanya dan tidak mempunyai tanggapan baik terhadap Dhiya.

Selepas mengharungi pelbagai cabaran hidup, berjayakah Dhiya bersatu dengan ibunya? Bagaimana pula persahabatan Dhiya dengan Saiful dan Kiflie?

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");