Membawang Hari Ini

Nina hormat karya drama

Pelakon, Nina Iskandar memulakan kembara seninya di layar perak dengan membintangi beberapa filem tetapi kebelakangan ini kerap muncul dalam drama menerusi televisyen pula.

Ada yang menganggap beralih dari layar perak ke skrin TV sebagai memperendahkan kedudukan diri tetapi tidak bagi Nina.

Baginya, berlakon drama TV sebenarnya sebagai ‘bilik darjah’ baharu buat dirinya yang masih mencari tapak kukuh untuk melebarkan sayap.

Gadis kelahiran Brunei Darussalam ini tidak sekali-kali menghentikan langkah kakinya sebelum mencapai impian sebenar. Katanya, apa saja pekerjaan yang berkaitan dengan seni akan dicuba selagi ada peluang.

“Ada yang bermula dari drama kemudian berlakon filem. Ada juga yang sudah lama berlakon drama tetapi masih belum berpeluang ke layar perak.

“Bagi saya, gembira dan bersyukur apabila rezeki bermula dengan filem. Mungkin orang lain tertanya-tanya kenapa saya mahu berlakon drama sedangkan saya mula dikenali melalui filem.

“Itu bukan masalah besar buat saya kerana seni ini luas. Drama mahupun filem kedua-duanya memberikan ilmu yang berbeza dan penting andai mahu terus bertahan dalam industri.

“Ia bukan memperendahkan kedudukan saya tetapi salah satu cara mengembangkan bakat kerana cabaran filem serta drama itu berbeza,” katanya.

Kata Nina, setakat ini dia sangat menyukai drama Lari Mira yang mengisahkan wanita yang menjadi mangsa tsunami dan terpisah dengan keluarga. Watak Mira memberi impak besar buatnya.

“Secara peribadi, emosi dan ‘feel’ membawakan watak itu sangat berlainan daripada apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Ia mendidik saya untuk menjadi pelakon yang boleh membawa pelbagai watak,” katanya.

Sepanjang 2016, Nina yang memulakan kerjaya lakonan di Malaysia menerusi filem Mukasurat Cinta, hanya berlakon satu filem iaitu Hospital. Dia memegang dua watak yang juga karakter yang menarik baginya.

“Saya tidak merancang untuk menghadkan lakonan tetap perjalanan karier sudah jadi begitu. Saya banyak komitmen pada drama terutama siri Papa Ricky untuk 80 episod.

“Saya habiskan dulu komitmen yang sudah dijanjikan. Untuk drama itu saya rasa tidak ada cabaran sangat sebab watak saya ‘happy go lucky’.

“Cuma mungkin akan berhadapan dengan pertembungan jadual pelakon lain. Ada ramai pelakon hebat dan dikenali yang terbabit dalam rantaian itu. Saya kena bersedia untuk segala kemungkinan,” katanya.

Nina atau Nur Akmalina Iskandar akui tidak pernah meletakkan sebarang karakter tertentu yang ingin dilakonkan. Dia tidak kesah walaupun diberi watak serupa berulang kali.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Nina kurang berkemampuan membawa watak ekstrem dan berat. Katanya, setiap karakter yang diberi adalah tugasan pelakon untuk mencorakkan watak itu.

“Saya tidak ada watak impian atau menunggu peluang datang.

Walaupun diberi karakter sama, saya anggap itu cabaran. Tugas saya adalah mewarnakan karakter itu menurut kreativiti agar tidak sama dengan yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Apa sahaja peluang yang datang, saya akan terima. Tidak ada istilah jemu bawa watak serupa. Perkara itulah yang dapat membantu saya untuk terus jadi kreatif,” katanya.

Kisah silam putus tunang terus disimpan sebagai sejarah. Katanya, perkara itu tidak perlulah dibangkitkan. Dia menerima perkara itu dan meneruskan hidup seperti biasa.

Nina ingin fokus pada kerjaya dan bersyukur rezekinya melimpah ruah. Baginya, adalah lebih baik tumpukan perhatian pada kerja.

“Saya tidak mahu memikirkan kisah lalu dan tidak mahu bercakap mengenai cerita lama. Kita tutup buku dan mula hidup baru. Saya juga sudah lama melupakan hal itu dan bersedia memulakan kehidupan baru.

“Kalau ada teman lelaki pun saya rasa akan lebih berhati-hati selepas ini. Saya belajar daripada kesilapan dan akan merahsiakan perkara itu sehinggalah ada ikatan rasmi.

“Apapun, buat masa ini saya mahu menumpukan perhatian pada karier. Ada ada banyak kerja yang harus diselesaikan dan menuntut 100 peratus fokus,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");