Berita Hari Ini

Otak budak kian mengecut

Parit Buntar: Keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menderita penyakit otak mengecut dan saraf kini buntu untuk mencari jalan mengubati penyakit kanak-kanak berkenaan yang dikesan sejak empat bulan lalu.

Adik Haziq Irfan Zaidi, 3, disahkan menderita penyakit unik pertama dikesan di Malaysia itu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping (HT) pada Julai lalu.

Ibunya, Zalila Mohamed Zambri, 42, berkata, penderitaan anak bongsunya itu bermula daripada serangan sawan hingga tidak sedarkan diri sewaktu ditempatkan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak, di sini pada 27 Julai lalu.

“Berikutan keadaan Haziq Irfan semakin lemah, saya dan suami segera menghantarnya ke HT bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Pada 29 Julai, Haziq Irfan mula sedar dan masih mampu memberi tindak balas, namun pada malam itu Haziq sekali lagi mengalami serangan sawan dan pemeriksaan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) yang dijalankan ke atasnya, doktor mengesan bengkak pada otak anak saya,” katanya sewaktu ditemui wakil media di rumahnya di Taman Mutiara, di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya itu terpaksa dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang pada 31 Julai bertujuan mendapatkan pemeriksaan susulan bagi mengenal pasti jenis penyakit dihadapinya.

“Selepas beberapa siri pemeriksaan dan ujian dibuat, doktor pakar memaklumkan anak saya menghidap sejenis penyakit saraf dan otak mengecut berpunca sistem antibodi lemah.

“Kesan langsung akibat penyakit unik itu menyebabkan Haziq Irfan kini tidak lagi mampu berdiri, bercakap, bertindak balas terhadap sebarang rangsangan, kurang tidur selain mengalami perubahan sikap menjadi agresif,” katanya.

Zalila berkata, keadaan Haziq Irfan kini tidak ubah seperti kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), sedangkan sebelum ini dia seorang anak yang sihat, ceria dan aktif.

Katanya, doktor turut memaklumkan kes penyakit dihidapi anaknya itu juga adalah yang pertama dikesan di Malaysia dan sukar diubati.

Menurutnya, usahanya bersama suami, Zaidi Said, 48, membawa Haziq Irfan menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur memberi sedikit harapan buat mereka, namun memerlukan kos rawatan yang mencecah RM30,000.

“Saya dan suami bingung memikirkan perkara itu memandangkan kami tidak mempunyai simpanan sebanyak itu, selain terpaksa menanggung hutang dan kos perbelanjaan rawatan susulan Haziq Irfan yang dianggarkan mencecah RM1,700 sebulan,” kata penjawat awam yang kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak bulan September lalu bagi menjaga anaknya.

Zalila berkata, bukan niat dia dan keluarga meraih simpati daripada orang ramai tetapi demi memastikan Haziq Irfan dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain, dia sanggup melakukan apa sahaja yang termampu.

“Saya harap orang ramai atau mana-mana pihak dapat membantu kami mengubati Haziq Irfan dan mereka yang ingin membantu boleh menghubungi saya di talian 019-4727174 untuk maklumat lanjut,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");