Panasnya Hari Ini

PAU 2016 : Tun M Antara Cabaran Utama UMNO

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad adalah salah satu daripada empat cabaran utama yang perlu dihadapi oleh UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Selain bekas Presiden UMNO itu, kata Salleh, antara cabaran lain ialah fitnah parti pembangkang, pengundi muda dan perpecahan dalaman.

Berikutan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, jentera penerangan UMNO perlu bangkit untuk melawan fitnah menerusi hujah dan fakta yang jelas supaya rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang dilemparkan.

Beliau berkata lagi, jentera penerangan dan ahli UMNO tidak sepatutnya berdiam diri apabila terdapat fitnah yang dilemparkan terhadap parti itu terutamanya melalui media sosial.

“Masalahnya kita sendiri yang menyebarkan fitnah itu. Ini saya lihat sendiri di aplikasi Whatsapp, dia kongsi fitnah yang katanya dia dapat dari ‘group sebelah’, seronok dengar fitnah dari pihak lawan sedangkan kita ada fakta yang baik kita yang kita boleh sebarkan.

“Ada juga yang minta saya sekat laman tertentu… memanglah kalau salah akan diambil tindakan tetapi sepatutnya kita tahu itu fitna, kita lawan dengan fakta dan hujah dahulu,”katanya, lapor mstar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Penerangan Media 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada Selasa.

Pada masa sama, beliau berkata, jentera penerangan UMNO perlu mencari jalan untuk memahami dan mendekati generasi muda dan mengubah persepsi negatif golongan itu terhadap kerajaan.

“Pihak lawan tiada pasukan pun, bergaduh antara mereka. terangkan kekurangan di pihak lawan ini dan apabila mereka dapat lihat ini, mereka akan nampak kebaikan parti kita,”ujarnya.

Salleh berkata, UMNO juga perlu mengelakkan perpecahan yang berlaku di dalam parti dan terus memperjuangkan ideologi untuk mempertahankan kontrak sosial bagi memastikan parti Melayu itu kekal bertahan.

“Kita hanya ada satu ketua iaitu Presiden kita, itu prinsip berorganisasi. Jika terlalu banyak sub-pemimpin, sejarah membuktikan parti tidak kuat.

“DAP dapat bertahan lama kerana parti itu ada perjuangan iaitu melawan perjuangan UMNO,”katanya.

Mengenai Dr Mahathir, Salleh berkata, bekas perdana menteri itu kini bersekongkol dengan DAP yang memperjuangkan ideologi yang jelas bertentangan dengan dasar perjuangan UMNO iaitu mempertahankan kontrak sosial.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");