Putrajaya: Dibuang kerja atau dipotong gaji adalah tindakan tata tertib yang akan dikenakan kepada penjawat awam yang didapati menyertai perhimpunan haram anjuran mana-mana yang akan diadakan esok (Sabtu).
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, tindakan yang akan diambil berdasarkan tahap pembabitan mereka seperti menjadi ketua bagi kumpulan besar atau kecil ketika perhimpunan itu dilaksanakan.
“Sekiranya kita menerima sebarang laporan mengenai penjawat awam yang menyertai perhimpunan ini kita akan menyiasat perkara itu dan jika gambar mereka terpapar kita juga tidak teragak-agak untuk membuang mereka dari sektor awam.
“Bagaimanapun, jika mereka melakukan jenayah individu terbabit akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan lanjut, pada masa mereka juga tidak terkecuali untuk dikenakan tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan PUSPANITA Keempat 2016.
Ali berkata, sebarang perhimpunan yang tidak diluluskan adalah salah satu kesalahan, dan kerajaan tidak membenarkan kakitangannya untuk terbabit dalam perhimpunan seumpama itu.
“Seperti biasa, kami melarang setiap penjawat awam menyertai perhimpunan haram malah mereka juga maklum mengenai perkara itu,” katanya.
BERSIH merancang untuk mengadakan perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok manakala Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai Baju Merah berikrar akan mengadakan himpunan balas pada hari sama.
-Harian Metro