Membawang Hari Ini

Pembaharuan daripada Faizal

Ketika gambar kulit album terbaru Faizal Tahir, Anatomi dikongsi di laman sosial, pelbagai reaksi diberikan pengikut industri hiburan tanah air.

Dalam pada mengeji, ramai juga mengatakan ia satu kejutan dan penanda aras baru dalam pembikinan album tempatan. Malah, ramai mengakui Anatomi mengubat kerinduan peminat yang sudah tiga tahun menantikan buah tangan terbaru naib juara program One In A Million musim pertama itu.

Anatomi memuatkan 12 lagu termasuk Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia. Tentunya empat lagu ini tidak asing lagi bagi peminat Faizal Tahir.

Tiga lagu lain yang turut mengisi Anatomi adalah Suriram, Menang dan Bukan Yang Pertama. Lebih menarik lagi, Anatomi turut menampilkan tiga trek bonus iaitu Dirgahayu, Negaraku dan tiga sisi berbeza Assalamualaikum dalam versi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014, Anugerah Juara Lagu 30 dan versi akustik.

Jika sebelum ini, Faizal dikenali dengan lagu rock, berbeza dengan Anatomi apabila memperlihatkan sisi lain yang gemar bereksperimentasi dengan muzik.

Faizal mengakui Anatomi adalah album yang menggabungkan pelbagai rencah kehidupan antaranya hubungan antara manusia dengan Tuhan dan persekitaran.

“Lagu Suriram contohnya mengisahkan wanita yang pernah hadir dalam hidup seseorang tetapi dia berlalu pergi begitu sahaja,” katanya.

Faizal turut menyifatkan lagu Bukan Yang Pertama sebagai karya menarik perhatian dan membawa maksud mendalam buatnya.

“Ia berlaku setiap hari dalam kehidupan kita. Kadangkala, kita suka menilai seseorang berdasarkan kisah hitam masa silamnya. Bagi saya, ia tindakan tidak wajar kerana semua orang perlu diberi peluang untuk berubah jika pernah melakukan kesilapan,” katanya.

Meletakkan beberapa rujukan antaranya The Beatles, Queen, Michael Jackson dan John Mayer, Faizal mengakui album ini memberikan ruang kepadanya melakukan pembaharuan.

“Bersama pasukan baru ini, saya boleh lebih bereksperimentasi dengan muzik. Ini antara perkara yang tidak dapat saya lakukan sebelum ini,” katanya.

INFO

• Album: Anatomi

• Penyanyi: Faizal Tahir

• Komposer: Mike Chan, Ezra Kong, Audi Mok dan Omar K.

• Label & edaran: Warner Music Malaysia

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");