Isu Panas

Pemuda Umno buat laporan polis terhadap Azmin

SHAH ALAM – Pemuda Umno Selangor mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan bukti berkenaan dakwaannya bahawa Majlis Raja-raja telah menolak pelantikan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketuanya, Zainuri Datuk Zainal berkata, jika beliau gagal melaksanakannya ternyata dakwaannya itu tidak bona fide, berniat jahat, tidak berasas dan memfitnah apabila memberi kenyataan bahawa seolah-olah pelantikan timbalan pengerusi SPR diatur BN.

“Azmin dikatakan hadir dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja tetapi dia tidak amanah dan bohong pada Dun dengan mengatakan majlis itu menolak cadangan nama Shukry sedangkan nama itu tidak dibawa dalam mesyuarat berkenaan.

“Sebagai seorang Menteri Besar, beliau tidak boleh mendedahkan perkara berkaitan dengan mesyuarat itu yang menjadi kerahsiaan dan ini melibatkan soal integriti,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu bersama kepimpinan pemuda di IPD Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, beliau turut meminta polis menyiasat Azmin ekoran memberi kenyataan yang bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 seolah-olah menghina kedudukan Majlis Raja-raja yang dinyatakan dalam perkara 38 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak bebas / impartial.

“Saya turut menggesa polis memanggil Azmin untuk memberi keterangan memandangkan beliau telah memberi kenyataan yang bertentangan dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 kanun Keseksaan.

“Petikan draf Hansard merujuk kenyataan yang diberikan Azmin semasa sidang Dun pada 3 November lalu adalah tidak benar dan amat memalukan,” katanya.

Pada 3 November lalu, ketika sesi perbahasan Dun, Mohamed Azmin dilaporkan mendakwa BN mempergunakan SPR dengan mendedahkan cadangan untuk melantik Shukry sebagai timbalan pengerusi SPR.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR itu berkata, cadangan berkenaan tidak diterima oleh Majlis Raja-Raja.

Sebelum ini, Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri (PMO), Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam satu kenyataan pula berkata, kertas cadangan pelantikan Shukry sebagai timbalan pengerusi SPR tidak dibentang dan dibincang semasa mesyuarat itu.

Tengku Sariffuddin menjelaskan bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik dan telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");