KLANG – “Saya hanya bekerja sebagai tukang urut sahaja di sini” demikian antara dakwaan seorang wanita warga Vietnam yang pasrah selepas ditangkap dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Batu Tiga Lama, dekat sini, semalam.
Hanya mahu dikenali sebagai Julia, katanya, kerja sebagai tukang urut itu dilakukan sebagai mata pencariannya.
“Saya perlukan wang sebelum pulang ke negara.
“Lagi pun, tahun depan saya akan berkahwin dan wang ini juga untuk perbelanjaan majlis itu nanti,” katanya ketika ditanya Sinar Harian.
Katanya, lebih memeranjatkan, dia yang berpakaian menjolok mata itu mengaku akan berkahwin dengan lelaki tempatan selain telah melakukan kerja ini sejak dua bulan lalu.
Tambahnya, dalam nada yang menggoda, dia memberitahu pendapatannya mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan bermula jam 7.45 malam diketuai Inspektor Mohd Anuar Ibrahim dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Klang Utara.
Beliau berkata, seramai 9 wanita warga asing membabitkan warga China, Vietnam dan Myanmar disyaki adalah pelacur dan tukang urut berjaya ditahan.
“Kita berdepan beberapa kesukaran kerana mereka menyembunyikan diri dan enggan membuka pintu biar pun beberapa anggota telah mengetuk pintu.
“Pintu terpaksa dibuka dengan bantuan pekerja hotel dan dapati ada antara mereka sedang menunggu pelanggan,” katanya.
Beliau memberitahu, beberapa barang telah dirampas seperti tuala, tisu, kondom dan minyak pelincir.
-Sinar Harian